Suasana dalam transit aliran ringan (LRT) yang dipenuhi orang ramai pada hari pertama peralihan fasa kedua Pelan Pemulihan Negara sekitar Lembah Klang selepas kerajaan mengumumkan kelonggaran itu ketika tinjauan pada 10 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tambang percuma tindakan populis, tumpu baiki sistem pengangkutan awam

SHAH ALAM, 17 JUN: Tawaran tambang percuma bagi semua pengangkutan awam kendalian RapidKL bermula semalam tidak membantu menyelesaikan isu ketidakcekapan operasi sistem berkenaan.

Sebaliknya, kerajaan persekutuan digesa mendengar keluhan rakyat yang berdepan masalah itu sejak bulan lalu khasnya bagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya.

Menurut EXCO pengangkutan awam, peruntukan RM155 juta bagi menampung kos tambang itu juga sepatutnya digunakan untuk membaiki tren selain eskalator dan alatan lain yang kerap rosak.

“Memberi perkhidmatan percuma seperti yang diumumkan semalam bukan penyelesaian tetapi tindakan populis untuk mengalih perhatian isu sebenar.

“Pada hemat saya, pengguna pengangkutan awam masih mampu menggunakan Kad My50 yang disediakan untuk menampung tambang bulanan mereka,” kata Ng Sze Han dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut kesal kenyataan Kementerian Pengangkutan sebelum ini yang memaklumkan kekerapan tren dikurangkan susulan kerosakan gerabak sekali gus gagal menampung jumlah pengguna yang ramai.

“Walaupun tren-tren ini memerlukan naik taraf atau penyelenggaraan, ia tidak sepatutnya dibuat serentak ke atas jumlah yang banyak sehingga menjejaskan bilangan tren yang beroperasi,” kata Sze Han.

Sebelum ini, perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dilaporkan sesak sejak awal pagi dan mendatangkan kemarahan penumpang kerana lewat ke tempat kerja.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan semua pengangkutan awam kendalian RapidKL ditawarkan secara percuma selama sebulan.

 


Pengarang :