Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi bercakap kepada media selepas menghadiri Karnival Jualan Prihatin Rakyat Mega di Pasar Tani Seksyen 13, Shah Alam. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tangani kos import makanan ternakan, PKPS laksana tanaman jagung bijirin

SHAH ALAM, 13 JUN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memulakan projek tanaman jagung bijirin bagi mengurangkan kebergantungan bekalan import, kata ketua pegawai eksekutif kumpulannya.

Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata projek atas tanah seluas 700 ekar di Sungai Kelambu, Kuala Langat menerusi Program Inisiatif Sekuriti Makanan mampu mengatasi kenaikan harga makanan ternakan ayam dan ruminan.

“Inisiatif ini dimulakan apabila kita melihat salah satu komponen terbesar daripada harga ayam adalah dedak itu sendiri. Sebelum ini kita mengimport 100 peratus dari negara luar.

“Misalnya Brazil, harga jagung bijirin untuk makanan ayam sebelum ini kita import RM1,200 per tan tetapi sekarang naik berganda sehingga RM3,200 per tan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam siaran langsung bersama Niaga Awani berhubung Sekuriti Makanan: Siap Siaga Hadapi Krisis Buruk di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan hari ini.

Mohamad Khairil menambah projek tanaman sama di Kedah atas tanah seluas 400 ekar sudah dimulakan, menjadikan keseluruhan 1,100 ekar.

“Tanaman di kedua-dua projek ini mampu menampung dua juta ekor ayam. Semoga inisiatif ini dapat membantu untuk kita wujudkan makanan ternakan ayam dan ruminan sendiri,” katanya.

Pada 18 Mei,  Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) untuk kerjasama tanaman jagung bijirin.

Projek tanaman jagung bijirin di Kuala Langat Selatan dan Kuala Langat di Selangor serta Gemas di Negeri Sembilan dijangka mengurangkan kebergantungan bekalan import.


Pengarang :