Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) antara yang akan diperkenalkan dalam Karnival Jelajah Selangor Penyayang yang dijadualkan di Hulu Langat pada 19 Jun 2022. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Tarikh baharu jelajah bantuan rakyat di Hulu Langat 19 Jun

SHAH ALAM, 3 JUN: Karnival Jelajah Selangor Penyayang bagi mempromosi inisiatif kebajikan rakyat dijadualkan semula di Hulu Langat pada 19 Jun.

Menurut Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), program yang melibatkan 23 anak syarikat negeri bakal diadakan di Padang MPAJ, Taman Kosas bermula 7.30 pagi hingga 5 petang.

“Agensi ini akan menguar-uarkan insentif disediakan kepada pengunjung. Contohnya Permodalan Negeri Selangor Berhad dan Lembaga Perumahan Selangor akan menerangkan berkenaan Rumah SelangorKu.

“Pendaftaran untuk semua inisiatif negeri juga dibuka seperti pinjaman Hijrah dan bantuan Yayasan Warisan Anak Selangor untuk memudahkan penduduk membuat pemohonan,” kata pemerbadanan itu.

Selain menghebahkan maklumat inisiatif, program tersebut turut diserikan pelbagai acara antaranya senamrobik, pertandingan memasak, gubahan bunga, sukan rakyat, papan selaju dan e-sukan.

Pelaksanaan inisiatif membabitkan peruntukan RM350 juta ini menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

Jelajah itu turut dijadual diadakan di Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling dan Gombak.


Pengarang :