Teraju Ekonomi Asnaf
Sebanyak 25 produk keluaran 10 usahawan asnaf bimbingan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) dijual di Food Market Wangsa Melawati, Kuala Lumpur. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Teras lancar portal pembelian atas talian, tawar 156 produk

SHAH ALAM, 14 JUN: Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) melancarkan platform pembelian atas talian, MyTERAS Shop bagi membantu meningkatkan ekonomi rakyat khususnya golongan asnaf.

Pengerusinya Dato’ Ibrahim Md Yusof berkata platform yang mula beroperasi hari ini menawarkan 156 barangan berkualiti keluaran asnaf, industri kecil dan sederhana (IKS), selain produk sedia ada.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 30 produk adalah keluaran asnaf melibatkan 10 syarikat yang berada di bawah bimbingan Teras.

“Kelainan portal pembelian ini adalah selain pembeli berpeluang menikmati harga lebih murah berbanding pasaran, sebanyak RM0.10 daripada setiap pembelian RM10 akan diinfaqkan kepada golongan memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran portal tersebut yang disempurnakan Mufti Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir di Wisma PKPS di sini hari ini.

Tambahnya, selain berinfaq menerusi pembelian barangan, pembeli juga boleh membeli pakej Infaq yang ditawarkan menerusi portal tersebut.

“Terdapat empat pakej infaq disediakan iaitu bernilai RM50 hingga RM150. Mereka hanya perlu melayari myteras.shop untuk membeli barang keperluan dan berinfaq,” katanya.


Pengarang :