Beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Jepun Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dalam Kejohanan Badminton All England pada 17 Mac 2022. Foto Facebook BAM
AGENDASUKANKINI

Terbuka Malaysia: Beregu badminton, Pearly-Thinaah mahu teruskan momentum

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Beregu badminton wanita negara Pearly Tan-M Thinaah berharap dapat meneruskan momentum mereka di Indonesia sebelum ini, pada saingan Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil minggu depan.

Pasangan ranking ke-10 dunia itu dijadualkan menentang gandingan ke-22 dunia dari China Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting di pusingan pertama kejohanan itu yang bermula 28 Jun hingga 3 Julai ini.

Ia merupakan pertemuan kedua mereka selepas pusingan kedua Terbuka Thailand bulan lepas yang dimenangi Pearly-Thinaah.

Pearly menjangkakan tentangan sengit, namun masih positif bahawa beliau dan Thinaah mampu menampilkan persembahan cemerlang, selain teruja untuk turun beraksi di laman sendiri.

“Sudah tentu saya rasa teruja sebab di Istora Senayan, Jakarta, kami boleh lihat penonton (sekarang) kami tidak sabar untuk menyaksikan peminat Malaysia, bagaimanapun undian sangat mencabar kerana dalam pusingan pertama kami akan menentang China,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara di sini.

Pearly-Thinaah yang memenangi Terbuka Switzerland tahun lepas berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir Kejohanan Masters Indonesia di Stadium Istora Senayan, sebelum terkandas seawal pusingan kedua di Terbuka Indonesia yang berlangsung di venue sama, bulan ini.

Dalam pada itu, pemain berusia 22 tahun itu berkata pengumuman Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berkenaan status Terbuka Malaysia yang dinaik taraf daripada Jelajah Dunia Super 750 kepada Super 1000, menyemarakkan lagi semangat atlet badminton tanah air.

“Bagaimanapun, bagi saya semua kejohanan Super adalah sama kerana semua pemain hebat menyertai kejohanan tersebut (Super 500, 750 & 1000), tiada banyak beza, hanya harap untuk fokus pada setiap perlawanan,” katanya.

Pemain beregu badminton lelaki Aaron Chia pula berkata: “Memang apabila naik 1000 buat (pemain) lebih semangat, main di laman sendiri pula, boleh cakap kejohanan paling besar antara beberapa kejohanan, jadi itu juga menyuntik keyakinan.”

Ahad lepas, BWF mengumumkan penaiktarafan status Terbuka Malaysia daripada Jelajah Dunia Super 750 kepada Super 1000 mulai tahun depan hingga 2026.

– BERNAMA


Pengarang :