Muhammad Adam Haiqal Mohd Shairul Faizal menyasar pingat pertama Sukan Malaysia (Sukma) buat Selangor dalam acara berbasikal.
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Tersungkur di selekoh, atlet basikal bangkit raih podium walau siku ‘koyak’

Oleh Faysal Amani

Dalam perlumbaan pada usia 16 tahun di Perlis pada 2018, Muhammad Adam Haiqal Mohd Shairul Faizal tersungkur ketika mengambil selekoh.

Mengenangkan ahli keluarga sanggup datang jauh dari Shah Alam untuk memberi sokongan, atlet berbasikal muda Selangor itu bangun semula meneruskan perlumbaan.

Melupakan rasa sakit dengan luka di siku, Muhammad Adam Haiqal, kini berusia 20 tahun, menguatkan azam untuk sekurang-kurangnya menamatkan perlumbaan.

“Sebaik terjatuh, saya lihat siku saya koyak dan berdarah tapi saya bangun semula sebab tak mahu hampakan harapan ibu bapa dan keluarga yang datang dari Shah Alam.

“Pada mulanya saya cuma mahu menamatkan perlumbaan, namun saya dapat kejar semula kelompok besar pelumba seterusnya memecut dan meraih tempat kedua.

Antara kejohanan berbasikal yang disertai oleh Muhammad Adam Haiqal Mohd Shairul Faizal.

“Ia pengalaman luar biasa yang tidak dapat saya lupakan,” kata pelajar diploma sains sukan dan rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam mengimbau perlumbaan lebuh raya kategori bawah 17 tahun.

Muhammad Adam Haiqal mula menyertai sukan itu atas dorongan bapa, Mohd Shairul Faizal, 46, yang selalu membawanya berbasikal untuk beriadah ketika kanak-kanak.

Beliau seterusnya mengikut jejak abangnya yang juga bekas atlet berbasikal Selangor Muhammad Aiman Haiqal, 23, untuk terlibat serius dalam sukan tersebut.

“Pada usia 12 tahun, saya menyertai pasukan berbasikal Selangor dan menjadi pelumba termuda ketika itu berlumba dalam kejohanan Sport Exel di Pahang iaitu acara lebuh raya kategori bawah 15 tahun.

“Itu pertandingan pertama saya, tak menang tapi ia pengalaman sangat berharga,” katanya yang diserap sebagai pelumba pelapis kebangsaan ketika tingkatan lima pada 2019.

Pengalaman paling manis adalah dianugerah jersi hijau pada Berbasikal Remaja Malaysia (JCM) di Negeri Sembilan pada 2019, selain berlumba bersama pelumba ternama Asia dan Eropah di Tour de DMZ di Korea Selatan pada tahun sama.

Menjadikan raja pecut negara dalam acara berbasikal di lebuh raya Anuar Manan sebagai idola, beliau pertama kali menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2018 di Perak ketika tingkatan empat.

Pada temasya 2022 yang akan berlangsung dari 16 hingga 24 September di ibu negara, anak kedua daripada empat beradik menyasarkan pingat buat kontinjen Selangor.

“SUKMA tahun ini saya sasar ada pingat dalam acara lebuh raya, warna tak kisah. Saya mahu meraih pingat pertama SUKMA buat Selangor,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Muhammad Adam Haiqal berlatih enam hari seminggu, minimum 100 kilometer kayuhan sehari selain menjaga pemakanan dan rehat serta tidur mencukupi.

Beliau juga memasang impian untuk berlumba bersama barisan pelumba handalan dunia dalam Le Tour de Langkawi serta mewakili negara pada temasya Sukan SEA dan Sukan Asia.

Nama penuh

  • Muhammad Adam Haiqal Mohd Shairul Faizal

Umur

  • 20 tahun

Tarikh lahir

  • 3 Januari 2002

Asal

  • Shah Alam

Pencapaian:

2016

  • Lomba Customs Cycling (LCC) series-22 di Denpasar, Bali, Indonesia (perlumbaan antarabangsa pertama)

2017

  • Tour Europe bersama Berbasikal Junior Malaysia (JCM) di Belgium, Belanda dan Australia

2018

  •  Jelajah Perlis bawah 17 tahun (kedua)
  •  SUKMA Perak

2019

  • Ultron Road Bike Criterium U-21 (kelima)
  • Kuala Lumpur Criterium bawah 18 tahun (kedua)
  • JCM Negeri Sembilan (jersi hijau)
  • Tour De DMZ, Korea Selatan

2021

  • Jelajah Negeri Sembilan, Cycling Selangor Criterium Elite (kelima)

2022

  • JCM Track Johor (Pertama Team Pursuit),  Tour Gateh D’Tranung (ketiga berpasukan)

Pengarang :