Sebahagian jemaah mengaminkan doa pada majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci Makkah Musim Haji 1443H/2022M di Kompleks Haji Sepang (Movenpick) pada 20 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

TH: Malaysia negara pertama terima permit operasi hospital musim haji tahun ini

Daripada Zalina Maizan Ngah

MAKKAH, 21 JUN: Malaysia berjaya memperoleh pengiktirafan dan menjadi negara pertama yang mendapat permit untuk hospital beroperasi bagi musim haji 1443 Hijrah, kata Ketua Rombongan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Menurutnya berbanding negara lain, kecekapan Malaysia sentiasa diperakui Kementerian Kesihatan Arab Saudi dan mereka sedia maklum bahawa petugas Lembaga Tabung Haji (TH) akan mematuhi peraturan dan syarat yang telah ditetapkan.

“Satu majlis serahan untuk permit yang dikeluarkan ini telah diadakan oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi pada minggu lalu dan ia telah dihadiri oleh wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ini menunjukkan komitmen dan susun atur kerja yang cekap daripada KKM serta petugas perubatan TH. Ini juga menunjukkan bahawa TH dan KKM menitikberatkan persiapan menjaga kesihatan jemaah haji di Tanah Suci,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di bangunan Abraj Al Janadriyah yang menempatkan ibu pejabat TH dan jemaah haji Malaysia.

Selain itu, Syed Saleh berkata kejayaan itu juga adalah sebagai bukti pasukan perubatan TH sentiasa membuat kerja secara tersusun dan komited dalam memberi perkhidmatan terbaik.

“Pencapaian yang agak membangggakan kerana kita yang pertama, ia bukti pasukan perubatan kita buat kerja tersusun dan komited hingga memenuhi syarat termasuk bangunan, peralatan, sistem pembuangan sisa-sisa dan jumlah kakitangan.

“Itu syarat-syarat yang dikenakan Arab Saudi dan ini menunjukkan keyakinan Arab Saudi terhadap Malaysia apabila membuat sesuatu semuanya akan ikut peraturan, terbaik dan semua gerak kerja yang sistematik,” katanya.

Selain itu, Syed Saleh turut menasihatkan jemaah agar tidak memaksa diri melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan kesihatan apatah lagi menjelang Hari Wukuf, tidak lama lagi.

Cuaca terlampau panas dan kering hingga mencecah suhu 50 darjah Celcius memudahkan jemaah haji dijangkiti penyakit.

“Saya mahu menasihatkan jemaah supaya sentiasa memakai pelitup muka terutama di dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Jemaah haji juga perlu teliti barangan makanan yang dibeli…pastikan bersih dan basuh dulu buah-buahan sebelum makan.

Dalam keadaan yang panas ini, kita harus jaga diri supaya tidak terdedah kepada cuaca yang terlalu panas dan sentiasa meminum air secukupnya untuk elak pelbagai penyakit termasuk strok haba,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :