Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiada kuota khas untuk calon guru kontrak perkhidmatan – menteri

PUTRAJAYA, 2 JUN: Tiada sebarang kuota khas diperuntukkan untuk calon guru kontrak perkhidmatan (COS) dalam pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 (DG41) secara one-off, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata keutamaan pemilihan calon guru adalah kepada siswazah yang mempunyai ikhtisas pendidikan.

“Kita tidak mempunyai data lengkap bilangan siswazah yang memiliki ikhtisas pendidikan dalam pasaran. Disebabkan tiada data lengkap, kita buat unjuran dan hantar sekitar 4,000 calon yang tidak ada ikhtisas pendidikan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Ia sebenarnya senarai pendek, bukannya kuota kepada calon COS,” katanya dalam sidang media berhubung pemansuhan ujian PT3 di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan beberapa pihak bahawa Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan Kementerian Pendidikan tidak telus dalam keputusan temu duga COS yang dikeluarkan baru-baru ini selain dakwaan 5,000 kuota dikurangkan kepada 2,400 guru.

Radzi turut menegaskan bahawa setiap pengambilan COS dibuat dengan diteliti dan tidak wujud istilah ‘mengambil bahagian’ guru yang lain.

“Ada satu kumpulan siswazah ikhtisas sekitar 200 orang, SPP dapati mereka layak namun mereka belum terima surat daripada Senat Universiti. Adalah tidak adil kalau kita abaikan mereka sebab bukan salah mereka.

“Sebab itu, secara teknikal kita ambil mereka ini melalui COS dan ia tidak ada kaitan dengan COS yang tiada ikhtisas pendidikan,” katanya.

Pada 11 Mei lepas, Radzi dilaporkan berkata sebanyak 2,400 daripada 18,702 pengambilan guru secara sekali pengambilan (one-off) akan diisi oleh guru COS yang bakal tamat kontrak Jun ini.

– BERNAMA


Pengarang :