Program kesedaran pengurusan sisa pepejal dan 3R bersama anak yatim di Asrama Damai Rumah Anak-Anak Yatim Kuang, Rawang pada 28 Mei 2022. Foto Facebook KDEBWM
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Tiga lagi pusat kitar semula bakal dibuka tahun ini

SHAH ALAM, 17 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) akan membuka tiga lagi kemudahan kitar semula bahan (MRF) menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir memaklumkan pusat kitar semula itu bakal dibuka di Sepang, Ampang dan Hulu Selangor.

“Setakat ini, kawasan Sepang sudah mendapat persetujuan sepenuhnya manakala Ampang dan Hulu Selangor masih dalam perbincangan dan dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

“Ia akan menjadikan jumlah keseluruhannya kepada lima pusat kitar semula termasuk Meru di Klang dan Bukit Puchong di Subang Jaya,” katanya kepada Selangorkini.

Tambahnya, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kitar semula, pihaknya akan memperluaskan program pendidikan dengan kerjasama pelbagai pihak sepanjang tahun ini.

“Fokus kita adalah ingin meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat kebaikan kitar semula kepada alam sekitar.

“Kita juga merancang supaya setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mempunyai pusat kitar semula sendiri untuk kemudahan masyarakat,” katanya.

Pada 26 November lalu, Dato’ Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2022 berkata pusat MRF akan diperluaskan ke setiap daerah bagi mengurangkan bahan dan peralatan yang mempunyai unsur pakai buang.


Pengarang :