Operasi merobohkan struktur tambahan oleh kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya pada 25 Mei 2022. Foto Facebook MPAJ
PBTSELANGOR

Tindakan terhadap pemilik ubah struktur rumah diambil selepas berbincang

PETALING JAYA, 18 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sedang meneliti bentuk tindakan terhadap pemilik yang mengubah struktur rumah tanpa kebenaran.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir berkata sebarang keputusaan perlu mengambil kira pelbagai aspek memandangkan ada di antara rumah itu sudah diubah suai lebih 10 tahun.

“Ada diantara mereka yang mewarisi rumah terbabit daripada ibu bapa. Kita akan cuba bantu selesaikan, kita guna konsep menang-menang.

“Tapi pada masa sama kita akan pastikan perkara ini tidak berulang lagi kerana melibatkan aspek keselamatan dengan hak komuniti,” katanya selepas menyerahkan bantuan bakul makanan di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang di sini hari ini.

Beliau berkata MBPJ mempunyai hak untuk merobohkan struktur berkenaan namun perkara itu cuba dielakkan sekiranya boleh diatasi dengan tindakan lebih wajar.

“Kalau ikut akta, memang perlu roboh sahaja tapi sekarang kita berurusan dengan manusia yang mempunyai perasaan dan emosi, jadi kita nak tangani masalah ini dengan sebaiknya,” katanya.

Baru-baru ni tular di media sosial berhubung ubah suai rumah pangsapuri di beberapa kawasan hingga mengundang pelbagai reaksi masyarakat.


Pengarang :