Pengunjung cuba menggunakan mesin kitar semula ketika majlis perasmian Hari Terbuka @ PJ Eco Recycling Plaza sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022 dan ulang tahun ke-16 Bandaraya Petaling Jaya di PJ Eco Recycling Plaza, Petaling Jaya pada 9 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Tuah penyelia syarikat kitar semula sertai kuiz MBPJ, menang bekalan air minuman

PETALING JAYA, 10 JUN: Penyelia syarikat kitar semula tidak menyangka penyertaannya dalam kuiz meneka arca menara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membawa tuah dan memenangi hadiah bekalan air minuman selama enam bulan.

Izrul Fadly Mostapa, 26, berkata beliau datang ke plaza itu atas urusan kerja dan sekadar mencuba nasib meneka arca menara dibuat daripada bekas kotak minuman terpakai.

Izrul Fadly Mostapa. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya tidak sangka menjadi juara. Alhamdulillah, sejak program kitar semula ini dijalankan saya terus mengasingkan sampah-sampah yang boleh dikitar semula untuk dihantar ke plaza ini.

“Sebenarnya sebelum ini saya kurang mengamalkan budaya kitar semula tetapi program ini memupuk kesedaran dalam menjaga alam sekitar,” katanya kepada SelangorKini.

Dalam pada itu, kakitangan MBPJ, Seffene Siron berkata beliau mula mengamalkan mengumpul minyak masak terpakai sejak pihak berkuasa tempatan itu mula memperkenalkan program tersebut kepada masyarakat.

Seffene Siron. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya dahulu berada di Unit Alam Sekitar dan mendapati banyak manfaat daripada program mengumpul minyak terpakai selain jika dijual mendapat pulangan.

“Malah, sejak itu saya terus menguar-uarkannya kepada setiap blok dan kini penduduk mempraktikkan dalam kehidupan,” katanya yang menetap di Taman Medan Cahaya.

Terdahulu, Seffene membawa pulang hadiah bekalan telur ayam gred A selama 12 bulan selepas berjaya mengumpul 31 kilogram minyak masak terpakai sempena Ramadan.


Pengarang :