Maklumat berkaitan cuaca serata Malaysia boleh dirujuk dilaman sesawang www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih. Foto BERNAMA
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Tujuh daerah di Selangor diramal ribut petir, hujan hingga 7 malam

SHAH ALAM, 9 JUN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga 7 malam ini.

Agensi itu menerusi Twitter memaklumkan keadaan itu dijangka berlaku di negeri ini melibatkan daerah Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang serta seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka.

Situasi sama diramal di Perak meliputi Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim; Pahang (Tanah Tinggi Cameron dan Rompin), Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin) serta Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru).

Manakala Sarawak di Betong, Sarikei dan Mukah (Tanjung Manis) selain Sabah di Pedalaman (Kuala Penyu dan Beaufort) dan Pantai Barat (Papar).

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :