Isteri Allahyarham Tun Dr Arshad Ayub, Toh Puan Zaleha Arshad menyiram air di pusara suaminya di Makam Diraja, Shah Alam pada 14 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tun Arshad perintis penubuhan IPT, sumbang jasa besar dalam pendidikan

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Pemimpin parti politik utama negara hari ini menyifatkan jasa dan sumbangan Allahyarham Tun Arshad Ayub kepada sektor pendidikan di negara ini cukup besar termasuk perintis kepada penubuhan sebuah institusi pendidikan tinggi terpenting negara.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham, berkata sumbangan Arshad dalam pendidikan tiada tolok bandingnya termasuk dalam merintis penubuhan dan pembangunan Institut Teknologi Mara (ITM) (kini Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berjaya melahirkan jutaan modal insan berkualiti.

Sumbangan itu juga menjadikan beliau sebagai antara individu yang berjaya mencapai dan merealisasikan sasaran pendidikan bagi Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Mengenali Arshad yang pernah berkhidmat dalam beberapa kementerian sebagai Ketua Setiausaha, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata Allahyarham adalah seorang amat tegas, komited dan berdedikasi.

“Api kecintaannya kepada pembangunan pendidikan anak bangsa tidak pernah padam sehingga akhir hayatnya. Marilah kita sama-sama berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya dalam kenyataan dimuat naik dalam laman Facebook rasminya hari ini.

Arshad, 93, adalah pengarah pertama ITM sejak 1967 hingga 1975 meninggal dunia pada 2.06 pagi tadi selepas dilapor dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar KPJ Damansara sejak Selasa lepas kerana masalah kesihatan.

Sementara itu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan di Facebook juga menyifatkan sumbangan dan jasa Allahyarham bukanlah kecil terutamanya dalam menggagas ITM, antara institusi pendidikan terpenting di negara yang kini dikenali sebagai UiTM.

“Menubuhkan institusi pendidikan sebesar itu adalah bukti komitmen dan conviction (pendirian) beliau dalam mengangkat dan membela anak-anak bangsa terutamanya dalam aspek pendidikan dalam usaha dan upaya kita membina sebuah masyarakat bertamadun dan berintegriti tinggi.

“Semoga rohnya diberikan tempat yang istimewa oleh Yang Maha Esa,” katanya sambil mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham dan dikurniakan kekuatan kepada mereka.

-BERNAMA


Pengarang :