Peniaga menyiapkan tempahan yang dibuat melalui PLATS dan Grab di e-dapur Bandar Utama, Damansara pada 4 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Turun padang daftar peniaga bawah PLATS, perhebat usaha ke arah digital

Khairul Azran Hussin

SHAH ALAM, 26 JUN: Rakan Digital Selangor (RDS) digerak ke seluruh negeri untuk mendekati serta mendaftar peniaga kecil makanan dan minuman di bawah Platform Selangor (PLATS).

Penyelaras PLATS Azizul Hussin berkata inisiatif tersebut antara usaha melaksanakan transformasi perniagaan ke arah digitalisasi sekali gus membantu meningkatkan jualan harian mereka.

“RDS akan menjejaki peniaga dan penjaja kecil untuk mendigitalisasikan mereka dengan mendaftarkan dalam direktori PLATS bagi meningkatkan penjualan.

“Sasaran kita mahu semua peniaga makanan dan minuman berdaftar bawah PLATS, kalau orang mahu cari tempat makan, boleh akses menerusi PLATS untuk melihat pelbagai lokasi dan kedai,” katanya ketika menjadi tetamu program Borak Santai sempena Jelajah Selangor Penyayang menerusi Selangor TV.

PLATS diperkenal Ramadan dua tahun lepas bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor menerusi platform digital susulan penularan wabak Covid-19.

Pada 11 April tahun lalu, PLATS 2.0 dilancarkan bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja.

Platform maya siri 3.0 itu diteruskan tahun ini pada April melibatkan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), RDS dan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri.

 


Pengarang :