Kampus Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi. Foto ihsan UKM
AGENDANASIONAL

UKM lonjak ke tangga 138 dalam kedudukan universiti Asia

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melonjak ke kedudukan 138 dalam penarafan Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2022 berbanding kedudukan ke-150 tahun lepas, seperti diumumkan baru-baru ini.

UKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan penilaian itu merangkumi lima petunjuk iaitu sitasi, penjanaan industri, pengantarabangsaan, penyelidikan dan pengajaran, sekali gus meletakkan ia di tangga ketiga berbanding kelima dalam kalangan universiti terbaik di Malaysia.

Menurut kenyataan itu berdasarkan lima petunjuk tersebut, UKM memperoleh markah sebanyak 43.8 bagi indikator dan 64.3 berbanding 49.3 pada tahun lepas bagi petunjuk pengantarabangsaan.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata UKM merupakan antara universiti yang mencatatkan peningkatan ketara di Malaysia dalam THE Asia University Rankings tahun ini, iaitu selepas Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang melonjak 16 anak tangga.

“Walaupun memartabatkan bahasa Melayu kekal sebagai agenda utama, UKM tidak pernah mengabaikan elemen pengantarabangsaan yang tidak kurang pentingnya dalam mengekalkan reputasi universiti ini di persada dunia.

“Jika dilihat kenaikan yang ketara bagi petunjuk pengantarabangsaan itu, saya pasti impaknya akan lebih besar selepas pembukaan kampus cawangan UKM di Qatar pada Oktober ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata UKM berada pada landasan betul menerusi pencapaian dalam THE Asian University Rankings tahun ini, selain hala tuju universiti itu dalam pelaksanaan pelan strategik dan meningkatkan kualiti di bawah kerangka TERAS (bakat, etika, cergas, tangkas dan semangat)

Menurutnya penarafan universiti adalah antara instrumen bagi menanda aras sesebuah institusi pengajian tinggi dan percaya UKM akan mencapai kedudukan lebih baik jika universiti itu terus mengukuhkan asas dalam penyelidikan, pendidikan dan perkhidmatannya.

Mohd Ekhwan juga menzahirkan penghargaan kepada seluruh profesor, pensyarah, pengurusan, kakitangan dan pelajar universiti itu atas segala usaha serta sumbangan besar dalam memastikan UKM sentiasa berada di antara universiti terbaik Asia, khasnya Malaysia.

– BERNAMA


Pengarang :