Sebahagian peserta yang menghadiri temu duga pada program Jelajah JobCare di Dewan Utama Demesne, Hulu Langat pada 21 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

UPPS mahu anjur ekspo kerjaya, bantu lebih ramai penduduk dapat kerja

SHAH ALAM, 15 JUN: Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) merancang menganjurkan ekspo kerjaya secara besar-besaran bagi memberi peluang kepada rakyat negeri ini khususnya penganggur mendapat pekerjaan.

Ketua penyelarasnya berkata perkara itu akan diusul kepada EXCO Pemberdayaan Pekerja V Ganabatirau dalam masa terdekat susulan keberkesanan beberapa siri jelajah JobCare yang dimulakan sejak akhir Februari lalu.

“Ekspo ini mungkin diadakan secara hibrid dengan skala besar dan pencari kerja boleh hadir ke lokasi atau menjalani temu duga secara dalam talian.

Ketua Penyelaras Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS), S Vijayan

“Lebih banyak majikan dalam pelbagai sektor akan terlibat dalam ekspo ini berbanding hanya 20 pada jelajah sebelum ini termasuk peluang pekerjaan,” kata S Vijayan kepada Selangorkini.

Dalam pada itu, beliau berkata ekspo itu selari dengan hasrat membantu mengurangkan kadar pengangguran di Selangor yang ketika ini merekodkan 2.9 peratus.

“Sekiranya UPPS boleh bantu turunkan kadar itu kepada 2.8 peratus sudah cukup bagus. Diharap rancangan untuk melaksanakan ekspo ini dipersetujui bersama,” katanya.

Pada 26 Februari lalu, UPPS memulakan Jelajah JobCare secara berperingkat membabitkan 10 siri di sembilan daerah negeri ini.

Inisiatif dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi membantu golongan berkemahiran rendah, sederhana dan tinggi yang hilang pendapatan akibat Covid-19 memperoleh pekerjaan.

Program itu disertai 15 syarikat tempatan dengan hampir 3,000 peluang kerja dalam pelbagai sektor ditawarkan.

Setakat tujuh siri penganjuran, seramai 641 peserta diterima bekerja meliputi bidang pembuatan, perkilangan, pelabuhan, logistik dan penghantaran barang.


Pengarang :