Pelakon Shahili Abdan atau lebih dikenali dengan Namron ketika diwawancara Media Selangor di kediamannya di Bandar Seri Damansara, Petaling Jaya pada 17 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIPILIHAN MINGGUANRENCANA

Usia 15 tidak lancar membaca, Nam Ron pernah kerja cuci pinggan

Membintangi lebih 80 filem dan drama. Lima filem arahannya merupakan naskhah skrip sendiri. Menang pelbagai anugerah termasuk pengarah terbaik Festival Filem Antarabangsa Asean 2019 dan Festival Filem Malaysia.

Namun, tiada siapa tahu penggiat seni ternama ini dahulunya mempunyai masalah pembelajaran. Malah ketika berusia 15 tahun pun masih belum dapat membaca dengan lancar.

Wartawan NAZLI IBRAHIM menemu bual Nam Ron di kediamannya di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 17 Mei.

Mengimbau liku perjalanan yang membawa beliau ke bidang teater dan filem, Nam Ron, 53, tidak sesekali lupa akan Allahyarhamah Cikgu Noraini, individu yang paling banyak membantunya saat remaja.

Ketika itu pemilik nama sebenar Shahili Abdan di tingkatan tiga. Oleh kerana masih belum lancar membaca, Cikgu Noraini kerap menyuruhnya ke hadapan kelas untuk membaca puisi.

Selain masalah pembelajaran, beliau gemar menyendiri dengan memerhati gelagat orang sekeliling hingga membawa kepada pelbagai persoalan kehidupan dalam diri. Namun, banyak perkara bermain di mindanya tidak dapat diluah kerana tidak tahu bagaimana mengekspresikan pendapat.

Lantaran kerap membaca puisi, beliau mula menulis untuk meluahkan fikiran tetapi hanya untuk dirinya sendiri. Sungguhpun begitu, puisinya pernah dibacakan dalam Radio Tiga Kangar. Ia benar-benar memberi kepuasan kepada Nam Ron.

Masa lapang di luar waktu sekolah pula dihabiskan menonton wayang bersendirian. Tidak mengira filem Melayu, Inggeris, Hindustan atau Cina, asalkan menonton wayang.

Lama kelamaan hobi menonton wayang menimbulkan keinginannya berkongsi cerita dan pemikiran kepada masyarakat melalui medium hiburan.

“Bila suka tengok wayang, timbul rasa mahu bercerita apa yang saya perhati, apa berlaku keliling saya tetapi tidak ada saluran. Saya mula dengan menulis puisi tetapi untuk sendiri sahaja. Ia seperti terapi dan saya rasa ada suara.

“Sehingga 1989, umur sudah 20 tahun saya jumpa kumpulan teater dinamakan Aksi, saya rasa boleh jadi satu medium untuk berkongsi cerita. Di situlah mulanya,” katanya.

Dua tahun bersama Aksi, hajat Nam Ron masih tidak kesampaian. Akhirnya beliau bersama seorang rakan menubuhkan kumpulan teater sendiri, Sebatu.

“Sepanjang dua tahun dalam Aksi, saya banyak jadi pelakon tambahan kerana kurang keyakinan diri, gemuruh, kaku sedangkan tujuan utama masuk teater ialah mahu menulis cerita sendiri apa yang berlaku keliling saya.

“Pada 1991, saya dengan seorang kawan tubuhkan kumpulan teater sendiri dinamakan Sebatu sebab jarak rumah di Kampung Sebatu dengan Kangar sebatu jauhnya,” katanya.

Belajar teater

Pada 1994, Nam Ron meninggalkan Sebatu bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Ketika di Aswara beliau lebih banyak menumpukan kepada penulisan skrip dan pengarahan berikutan perasaan gemuruh yang teruk menyebabkan lakonan menjadi kaku.

Sepanjang menuntut di Aswara beliau tiada tempat tinggal tetap, sebaliknya menumpang dari satu rumah ke satu rumah kawan ekoran tiada duit mencukupi untuk menyewa bilik.

Pada hujung minggu pula, beliau bekerja sebagai pencuci pinggan di restoran bagi mendapatkan duit makan.

Walau sentiasa berhadapan dengan masalah kewangan, Nam Ron menamatkan pengajiannya pada 2000 sebelum kembali sebagai pengajar pada tahun sama. Beliau kemudiannya dilantik sebagai pensyarah pada 2005 hingga 2010.

Walau sibuk dengan tugasan di Aswara, Nam Ron aktif menghasilkan skrip dan mengarah teater dan skrin. Antara karya terkenalnya Mat Derih Kola Perlih. Naskhah itu juga membuka jalan untuk beliau membentuk diri sebagai pelakon.

“Saya dapat formula berlakon melalui pengarahan. Bila kita mengarah kita bekerja dengan pelakon yang ada bakat bagus seperti Dr Rosdeen Suboh, Adlin Aman Ramlee, Khir Rahman, Que Haidar dan lain-lain.

“Bila mengarah, saya tengok cara mereka berlakon. Saya mula yakin untuk berlakon dan timbul semula minat. Saya mula boleh berlakon sebenarnya pada 2001 sebelum saya berlakon Paloh bawah arahan Adman Salleh pada 2003,” katanya.

Pelakon Shahili Abdan atau lebih dikenali dengan Namron menunjukkan sebahagian anugerah yang dimenanginya ketika diwawancara Media Selangor di kediamannya di Bandar Seri Damansara, Petaling Jaya pada 17 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Dunia filem

Selepas meletak jawatan sebagai pensyarah di Aswara, beliau dan isteri melalui fasa bergelut untuk kelangsungan hidup sebelum mendapat tawaran berlakon filem Sanggul Beracun arahan Sabri Yunus.

Sejak itu, Nam Ron mula mendapat beberapa tawaran lain. Namun selepas menang anugerah pelakon lelaki terbaik FFM 2017 menerusi filem Redha, semakin banyak tawaran diterima.

Selain anugerah pelakon terbaik beliau pernah menang pelakon pembantu lelaki terbaik Anugerah Skrin menerusi filem Parit Jawa (2012), Balqis (2014) dan Dukun (2018).

Namun paling manis apabila filem arahannya, One Two Jaga meraih gelaran pengarah terbaik, filem terbaik, lakon layar terbaik, skrip terbaik dan pelakon lelaki terbaik.

One Two Jaga juga membawa beliau ke Itali, Poland, China, Taiwan, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain di Asia.

“Istimewanya One Two Jaga adalah kejujuran. Saya percaya seni harus jujur, ada suara dalam karya itu. Bukan untuk pecah panggung atau keuntungan semata-mata. Seni itu ubat masyarakat.

“Hiburan umpama candu. Masyarakat gemar pilih candu daripada ubat tetapi jangan salah anggap, filem bercorak hiburan ini tak salah, saya tak menentang filem seperti ini kerana ia penting untuk menjana ekonomi, peluang kerja dan sebagainya,” katanya.

Bapa kepada tiga cahaya mata menyifatkan filem komersial juga membuka kepercayaan kepada pelabur untuk terus melabur dalam industri seni dan membuka lebih lagi peluang kerja.

Nam Ron yakin kedua-dua konsep ini perlu seimbang bagi melahirkan filem yang mampu menjana ekonomi tetapi pada masa sama menyelitkan kejujuran dan kritikan dalam karya.

Menyentuh jumlah bayaran, bagi Nam Ron, agak sukar pelakon di Malaysia untuk lebih memilih tawaran lakonan yang datang.

Pelakon Malaysia menerima bayaran lebih kecil mendorong mereka menerima apa sahaja peluang kerja depan kamera hingga ada menjejaskan mutu lakonan, eksklusif dan nilai dalam pasaran.

“Tetapi masih ada sahaja pelakon yang tetap jaga nilai ekslusif mereka antaranya Eman Manan, Faizal Hussein dan Bront Palarae tetapi Bront Palarae sudah tahap lain sebab dia banyak main filem luar negara, kadar bayaran lebih tinggi dan dibayar dengan dolar.

“Sebenarnya kalau kita tengok artis sama ada penyanyi atau pelakon yang mewah, rumah besar, kereta besar sebenarnya ada pendapatan lain seperti berniaga misalnya. Kalau harapkan pendapatan berlakon semata, bolehlah hidup tetapi sebagai golongan pertengahan yang senang,” katanya.

Bagi Nam Ron, faktor yang menjadi pertimbangan sebelum menerima tawaran adalah watak yang boleh dibawa, bayaran dan pengarah karya berkenaan.

Beliau perlu mempertahankan kadar bayaran diterima untuk setiap tawaran bagi mengelakkan nilai pasarannya rosak.

Dia juga menolak kaedah menentukan bayaran berdasarkan jumlah pengikut media sosial. Baginya jumlah pengikut di media sosial tidak mencerminkan populariti seseorang pelakon apa lagi kualiti lakonan.

“Ada juga pelakon yang popular tetapi tidak ramai pengikut sebab yang selalu menjadi pengikut media sosial ini adalah orang muda.

“Pengikut yang ramai-ramai ini belum tentu pergi tengok filem lakonan artis yang diikut itu kerana mungkin budak sekolah atau yang belum stabil hidupnya.

“Contoh Eman Manan tidak ramai pengikut media sosial tetapi ke mana pergi orang kenal dan ramai peminat lakonan dia rata-rata berumur 30, 40 tahun ke atas ada lebih kuasa membeli,” katanya.


Pengarang :