Peserta membuat pemeriksaan mata ketika program Selangor Saring dalam Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat guna media sosial hebah program saringan kesihatan percuma

SHAH ALAM, 23 JUN: Wakil rakyat Dusun Tua menggunakan kaedah hebahan di media sosial untuk menguar-uarkan program saringan percuma yang diadakan di Dewan Komuniti Kampung Batu 9, Cheras Ahad ini.

Edry Faizal Eddy Yusof berkata hebahan di media sosial antara salah satu platform yang pantas dan membantu supaya lebih ramai masyarakat mendapat manfaat.

“Selain media sosial, saya juga menghebahkan program di aplikasi WhatsApp termasuk kumpulan wakil penduduk seluruh kawasan Dusun Tua.

“Orang ramai disaran memuat turun terlebih dahulu aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) supaya proses saringan lancar,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin berkata beliau bekerjasama dengan agensi kerajaan di Kuala Langat dalam membuat hebahan program Selangor Saring.

“Kita meminta bantuan daripada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), pejabat tanah, Jabatan Kerja Raya untuk membantu menghebahkan program yang disekalikan dengan Jelajah Selangor Penyayang.

“Esok pula kita akan buat hebahan di masjid-masjid supaya penduduk di kawasan sekitar hadir. Jangan lepaskan peluang kerana saringan ini tidak sama seperti pemeriksaan kencing manis dan darah tinggi,” katanya.

Saringan kesihatan percuma yang dilaksanakan di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu ini diadakan di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun.

Pemeriksaan menerusi program Selangor Saring kemudian diteruskan di Dewan Komuniti Kampung Batu 9, Cheras dan Dewan Komuniti Taman Pelangi, Semenyih pada 26 Jun.


Pengarang :