Bakal jemaah haji bergambar selepas selesai menerima insentif Haji Muassasah di Masjid Al-Amaniah Gombak pada 20 Julai 2017. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKIN
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat saran bakal jemaah segera mohon insentif haji

SHAH ALAM, 1 JUN : Bakal jemaah di negeri ini diseru memohon segera Insentif Haji Muassasah yang disediakan Kerajaan Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang Rozana Zainal Abidin berkata individu yang mempunyai dokumen lengkap boleh terus ke pusat khidmat masyarakat (PKM) berhampiran untuk membuat permohonan.

“Antara salinan dokumen perlu disediakan jemaah haji adalah kad pengenalan dan surat tawaran dari mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji (TH) Selangor.

“Setakat ini kita tidak meletakkan sasaran jumlah pemohon tetapi semua bakal haji di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang boleh memohon segera di PKM,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Manakala, ADN Kajang Hee Loy Sian berkata setakat semalam pihaknya sudah menerima sebanyak 37 permohonan Insentif Haji Muassasah.

“Permohonan masih dibuka sehingga 31 Ogos ini, ia adalah terhad dan kita mengguna pakai konsep siapa cepat dia dapat. Semua bakal jemaah diseru segera memohon,” katanya.

Selain itu, wakil rakyat Tanjong Sepat Borhan Aman Shah berkata sambutan amat memberangsangkan apabila 10 jemaah haji di kawasannya sudah memohon inisiatif tersebut sejak dibuka 23 Mei lalu.

Insentif Haji Muassasah Selangor yang tertangguh dua tahun akibat Covid-19 diteruskan tahun ini dengan peruntukan RM1.5 juta sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan Kerajaan Negeri kepada rakyat yang bakal menunaikan haji.

Jemaah yang layak akan menerima wang tunai RM500 dan kit cenderahati mengandungi beg, cecair nyahkuman, losyen, pelembap bibir, tuala muka dan tisu basah.

Antara syarat permohonan mestilah warganegara Malaysia, tawaran menunaikan haji pada tahun ini dan beralamat di Selangor atau mendaftar di mana-mana cawangan TH.


Pengarang :