AGENDANASIONAL

Warga emas rentung dalam kebakaran rumah di Banting

SHAH ALAM, 24 JUN: Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan rentung di sebuah rumah kayu yang 80 peratus terbakar di Kampung Kanchong Darat, Banting, malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran yang dipercayai mengorbankan lelaki berusia 66 tahun iaitu kira-kira 8.17 malam.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah seluas 40×50 kaki (12.19 x 15.24 meter) itu adalah sebanyak 80 peratus. Api berjaya dikawal oleh pihak bomba pada jam 8.43 malam dan tiada mangsa terlibat dilaporkan setakat itu.

Pada jam 9.32 malam, kami telah menerima maklumat daripada isteri pemilik rumah memaklumkan suami beliau berada di rumah berkenaan sejak dari petang tadi. Setelah membuat pencarian pihak bomba menemui satu mayat lelaki rentung di bahagian belakang rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, warga emas itu dipercayai cuba keluar daripada rumah tersebut.

-BERNAMA


Pengarang :