EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud bergambar bersama penerima selepas majlis penyerahan Iltizam Sihat Selangor sempena Jelajah Selangor Penyayang di Padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

Waris penerima bantuan iltizam sihat bersyukur, guna tampung perbelanjaan

SHAH ALAM, 21 JUN: Rata-rata waris penerima Iltizam Selangor Sihat (ISS) meluahkan rasa syukur dan menyifatkan bantuan itu mampu menampung perbelanjaan bagi keperluan asas.

M Perinppanayagi, 59, yang kehilangan pasangan hidupnya April lalu akibat sakit jantung berkata beliau amat sedih di atas pemergian suami ditambah lagi mereka tidak memiliki zuriat.

M Perinppanayagi

“Kini saya tinggal bersama adik kerana saya dan mendiang memang tiada anak… walaupun masih sedih dengan pemergian suami tetapi tetap bersyukur terima bantuan ini.

“Saya bercadang untuk menyimpan wang ini dan belanja apabila perlu terutama berkaitan keperluan asas seperti perubatan, makanan dan minuman,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Azmin Sham Mokhtar

Seorang lagi waris, Azmin Sham Mokhtar, 52, berkata beliau mewakili Allahyarham ayahnya yang baru meninggal dunia Januari lalu akibat sakit tua.

“Terima kasih Kerajaan Negeri di atas bantuan diberikan ini yang amat membantu waris menguruskan keperluan pengebumian ahli keluarga yang meninggal dunia.

“Insya-Allah kami adik-beradik bercadang untuk membina kepok kubur arwah ayah dengan wang ini kerana sudah lama tertangguh,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Kerajaan Negeri melancarkan ISS di Jelajah Selangor Penyayang di Padang Taman Kosas, Ampang.

Program yang dijenamakan semula daripada Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS) itu memperuntuk sejumlah RM55.5 juta.

Ahli ISS yang layak boleh menuntut manfaat berjumlah RM6,000 iaitu RM5,000 bagi khairat kematian serta RM1,000 bagi kos pengebumian.


Pengarang :