Pengurus Besar Yide Nur Mohd Razali Abdullah (dua, kanan) bersama ikon Berkat Korban Ustaz Don Daniyal (dua, kiri) selepas majlis pelancaran Berkat Korban 2022 di Aeon Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur pada 8 Jun 2022. Foto Yide
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Yide-Aeon bekerjasama mudahkan orang ramai sedekah daging korban

SHAH ALAM, 9 JUN: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) memperkenal program Berkat Korban bagi memberi peluang kepada orang ramai melaksanakan ibadah korban tahun ini.

Pengurus besarnya berkata syarikat atau orang awam boleh menempah satu bahagian atau seekor lembu atau seekor kambing melalui inisiatif dengan kerjasama Aeon Co. (M) Bhd.

Menurut Nur Mohd Razali Abdullah, setiap daging korban akan diproses mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan agar ia kekal segar sebelum dihantar kepada penerima diniatkan.

“Pembungkusan satu bahagian dianggar sebanyak 15 kilogram(kg) dan dibuat setiap satu kg termasuk tulang haiwan korban.

“Penghantaran boleh dilaksana di seluruh negara dan peserta korban meniatkan daging korban tersebut untuk dihantar ke lokasi yang dipilih bagi tujuan ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau mengalu-alukan orang ramai menginfaqkan daging korban kepada 25 rumah anak yatim seliaan Yide yang dijangka memanfaatkan hampir 8,000 penghuni.

“Yide dengan rendah diri mengajak pihak syarikat atau orang awam bagi melaksanakan ibadah korban bagi membantu anak yatim dan asnaf fakir miskin serta miskin tegar.

“Semoga ibadah korban yang dilaksanakan dapat menyucikan jiwa dan mengampuni dosa-dosa terdahulu,” katanya lagi.

Berkat Korban 2022 turut melantik Ustaz Don Daniyal Don Biyajid sebagai ikon bagi mempromosi selain bertindak sebagai jurucakap khas berkaitan agama dan hukum hakam ibadah korban.


Pengarang :