Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohd Sabirin bercakap kepada media selepas majlis Pelancaran Bulan Taksir Zakat Lembaga Zakat Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 23 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Zakat Selangor sasar kutipan RM1.05 bilion tahun ini

SHAH ALAM, 23 JUN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan sejumlah RM1.05 bilion kutipan zakat tahun ini berbanding RM992 juta pada 2021, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata beliau yakin dengan pelancaran kempen Bulan Taksir Zakat dan pelbagai kemudahan diperkenal hari ini jumlah itu mungkin bertambah berbanding tahun lalu.

“Alhamdulillah, setakat Mei tahun ini terdapat 309,529 pengeluar zakat di Selangor termasuk mereka dalam kalangan pembayar individu hingga ke syarikat korporat.

“Malah, trend kutipan zakat juga meningkat saban tahun dan ini jelas menunjukkan masyarakat sedar kewajipan yang harus mereka laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kempen Bulan Taksir Zakat yang disempurnakan oleh Pengerusi LZS Yang Amat Mulia Tan Sri Syed Anwar Jamalullail di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, hari ini.

Kempen Bulan Taksir Zakat bermula 15 Jun hingga 31 Julai bagi menggalakkan masyarakat mentaksir sendiri jumlah zakat yang perlu ditunaikan.

Pada majlis sama, LZS turut memperkenalkan kemudahan terkini pembayaran zakat secara ansuran melalui perkhidmatan debit terus dari akaun bank pembayar zakat.

Melalui inisiatif itu, pembayar dapat menunaikan zakat secara potongan terus dari akaun bank masing-masing secara lebih mudah dengan hanya melayari zakatselangor.com.my/directdebit.


Pengarang :