Jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia menewaskan pemain India Sameer Verma untuk mara ke pusingan suku akhir Terbuka Indonesia 2022 pada 16 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Zii Jia mara ke suku akhir Terbuka Indonesia

JAKARTA, 16 JUN: Jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia mempamerkan aksi bertenaga ketika menewaskan pemain India Sameer Verma untuk mara ke pusingan suku akhir Terbuka Indonesia 2022.

Pemain nombor lima dunia yang turun selaku pilihan keenam kejohanan itu memerlukan 41 minit untuk mengetepikan cabaran Sameer, 21-10, 21-13, di Stadium Istora Senayan di sini hari ini.

Zii Jia ketika ditemui pemberita selepas perlawanan mengakui tahap keyakinannya semakin meningkat bagi menghadapi cabaran seterusnya.

“Saya rasa sudah semakin biasa dengan penonton di sini. Ini sangat bagus untuk saya. Harap semuanya baik untuk pusingan seterusnya.

“Sasaran saya ialah untuk jadi juara di Terbuka Indonesia. BWF Super 1000 ini adalah kejohanan yang besar, harap dapat fokus 100 peratus,” katanya.

Pemain berusia 24 tahun itu dijangka bertemu pemain Singapura Loh Kean Yew yang menumpaskan Toma Junior Popov dari Perancis 21-16, 21-9.

Dalam aksi beregu campuran, beregu Malaysia Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei menundukkan rakan senegara Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai 21-19, 21-19.

Pang Ron-Ee Wei bakal bertemu pasangan Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung, yang menewaskan wakil tuan rumah Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 21-13, 21-11.

Beregu wanita negara Vivian Hoo-Lim Chiew Sien pula terkandas di pusingan kedua setelah kalah kepada pasangan China, Du Yue-Li Wen Mei, 10-21, 21-13, 9-21.

Sementara itu, beregu lelaki nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menewaskan Ruben Jille-Ties Van Der Lecq dari Perancis 21-17 16-21 21-6.

— BERNAMA

 


Pengarang :