Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Utama Kuala Selangor pada 2 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

11 program kebajikan baharu bantu tingkat kualiti hidup rakyat

KUALA SELANGOR, 2 JULAI: Program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang dilancarkan bulan lalu meliputi 11 inisiatif baharu bagi menambah baik kualiti hidup rakyat negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penambahan itu menjadikan keseluruhan 44 program ditawar kepada penduduk untuk kelestarian dan pembangunan kehidupan.

Antara inisiatif diperkenalkan ialah program kesihatan percuma Selangor Saring, Iltizam Anak Penyayang, Saringan Barah dan Selangor Mental Sihat.

“Kita bermula tujuh program pada 2008 dengan tema Merakyatkan Ekonomi Negeri kemudian pada 2017, kita lancarkan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) merangkumi 43 program kebajikan.

“Pada 2019, kita selaraskan 33 bantuan dengan aspek pemerkasaan. ISP kali ini kita tambah lagi 11, jadi ada 44 program ditawar kepada rakyat dengan belanja lebih RM600 juta,” katanya.

Berucap pada program Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Utama Kuala Selangor hari ini, Amirudin berkata prinsip negeri yang prihatin, peduli rakyat dan mahu menyayangi warganya menyebabkan IPR diubah kepada ISP.

“Kita bukan setakat hendak bantu tetapi mahu menyayangi masyarakat dengan menyeluruh dan laksanakan program yang menjamin kehidupan mereka.

“Bukan sekadar bagi duit untuk mengubati batuk, luka dan apa-apa penyakit tetapi kita mahu mengetahui status kehidupan rakyat,” katanya.

Minggu lalu, Kerajaan Negeri melancarkan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang bakal memanfaatkan 30,000 keluarga.

Program seterusnya dijadual berlangsung di Dataran Boulevard, Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (23 Julai) seterusnya di Padang Awam Batu Caves, Gombak (31 Julai).


Pengarang :