Kakitangan Platform Selangor (PLATS) mempromosi kaedah jualan menerusi platform digital ketika Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
EXCOSELANGOR

12,324 penjaja kecil sertai PLATS, mahu luas niaga secara digital

SHAH ALAM, 5 JULAI: Seramai 12,324 peniaga dan penjaja kecil menyertai Platform Selangor (PLATS) untuk meluaskan rangkaian perniagaan setakat semalam.

EXCO Usahawan Rodziah Ismail yang berkongsi data berkenaan di Facebook berkata platform pemangkin perniagaan secara digital itu kini bergerak lebih agresif dengan penyertaan yang semakin membanggakan.

Sebelum ini, Penyelarasnya Azizul Hussin menyasarkan 20,000 penjaja kecil yang cenderung berubah ke arah jualan digital menyertai PLATS menjelang hujung tahun.

“Ketika PLATS mula diperkenalkan pada 2020, hanya kira-kira seribu sahaja berdaftar tetapi jumlah ini meningkat setiap tahun. Tahun ini kita sasar 20,000 peniaga dan penjaja kecil mendaftar,” katanya.

PLATS diperkenal Ramadan dua tahun lepas bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor menerusi platform digital susulan penularan wabak Covid-19.

Pada 11 April tahun lalu, PLATS 2.0 dilancarkan bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja.

Platform maya siri 3.0 itu diteruskan tahun ini pada April melibatkan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad, Rakan Digital Selangor dan 12 pihak berkuasa tempatan.


Pengarang :