Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengumumkan jangkitan cacar monyet sebagai Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa pada 23 Julai 2022. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

14 kontak kasual lelaki dijangkiti cacar monyet bebas wabak

BATU PAHAT, 14 JULAI: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) hari ini mengesahkan kesemua 14 kontak kasual kepada rakyat Malaysia di Singapura yang dijangkiti penyakit cacar monyet pada 6 Julai lepas, disahkan bebas daripada penyakit itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon berkata mereka yang kesemuanya berasal dari Johor itu, telah diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing selama seminggu.

Sehingga hari ini, tiada kes baharu penyakit cacar monyet dilaporkan membabitkan kemasukan pengunjung dari Singapura ke Johor, tambahnya.

“Bagaimanapun, semua hospital di negeri ini diminta bersiap siaga serta diarah untuk meningkatkan kemudahan juga tatacara yang sama dipraktikkan sepanjang penularan pandemik Covid-19.

“Setakat ini, semua kontak kasual tiada masalah dan telah menjalani ujian serta tahap kesihatan dan hasilnya tiada siapa pun dijangkiti,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Bangunan Unit Hemodialisis di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini, yang turut dihadiri oleh Pengarah Kesihatan Negeri Johor Datuk Dr Aman Rabu.

Pada 6 Julai lepas, seorang rakyat Malaysia berusia 45 tahun yang menetap di republik itu disahkan positif cacar monyet dan telah melakukan kunjungan ke beberapa rumah kenalannya di Johor.

Sementara itu, berkenaan pembukaan bangunan unit hemodialisis yang bernilai RM1 juta sumbangan Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu, Ling menyatakan terdapat 66 pesakit mendapatkan perkhidmatan dialisis di situ.

“Sehingga kini, terdapat 30 mesin dialisis ditempatkan di unit berkenaan dengan pesakit hanya dikenakan caj RM13 bagi setiap sesi rawatan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :