Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) disertai Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad (dua, kiri), memotong kek Sambutan 50 Tahun Jubli Emas PPAS di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya pada 14 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

15 tahun proses penjenamaan PPAS cukup panjang, penuh warna-warni

PETALING JAYA, 15 JULAI: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) melalui proses penjenamaan semula selama 15 tahun yang disifatkan perjalanan cukup panjang namun menarik dan penuh warna-warni.

Pengarahnya Datin Paduka Mastura Muhamad berkata tempoh tersebut banyak mengajar peranan dan makna gedung ilmu itu sendiri bagi menambah nilai kehidupan masyarakat serta menjana ekonomi melalui pendidikan.

“Saya mula berkhidmat di PPAS pada 1 September 2008 dengan 86 buah perpustakaan dan 125 kakitangan tetapi kini bilangan itu meningkat sedikit demi sedikit setiap tahun, begitu juga petugas.

“Sememangnya satu tanggungjawab mencabar untuk meneruskan legasi perpustakaan yang sudah 50 tahun ditubuhkan terutama bagaimana saya boleh manfaatkan sebuah entiti kerajaan dalam membantu masyarakat,” katanya.

Beliau berucap pada majlis makan malam sempena sambutan jubli emas PPAS dan pemukiman sasterawan yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Hotel Le Meridien dekat sini malam tadi.

Mastura turut berterima kasih kepada Amirudin yang juga pengerusi PPAS termasuk pimpinan negeri terdahulu kerana menyokong penambahbaikan fungsi serta peranan perpustakaan dijalankan sepanjang tempoh berkenaan.

“Diharap semua program diatur hasil peruntukan Kerajaan Negeri akan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.


Pengarang :