Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Rodziah Ismail (dua, kanan) bersama Ketua Pegawai Teknikal AC Gas Malaysia Mohd Hafizi Nazir (kanan) menyampaikan sumbangan tong gas dan barangan keperluan asas kepada 150 penjaja di Dewan Pinang MBSA, Seksyen 18 Shah Alam pada 1 Julai 2022. Foto RODZIAH ISMAIL
ADNSELANGOR

150 penjaja di DUN Batu Tiga terima tong gas, barangan keperluan asas

SHAH ALAM, 4 JULAI: Seramai 150 penjaja di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga menerima tong gas dan barangan keperluan asas pada 1 Julai.

Wakil rakyatnya Rodziah Ismail berkata sumbangan berkenaan adalah inisiatif pihaknya bersama AC Gas Malaysia bagi meringankan beban peniaga yang terjejas.

Beliau berkata pihaknya membelanjakan RM25,000 bagi sumbangan tong gas, beras dan minyak masak manakala AC Gas Malaysia pula menghulurkan RM2,400 untuk sumbangan tepung, gula dan susu.

“Sumbangan ini bertujuan meringankan beban penjaja yang terkesan teruk ekoran kenaikan harga barangan dan perkhidmatan pasca Covid-19 akibat dasar kerajaan pusat.

“Pemberian ini juga bagi mengurangkan dampak inflasi khususnya inflasi makanan yang naik kepada 5.2 peratus pada Mei lalu berbanding Mei 2021.

“Selain mengurangkan risiko penjaja berhutang dengan ah long untuk terus menjalankan perniagaan serta mengelak peniaga dari gulung tikar dan hilang mata pencarian keluarga,” katanya hari ini.

Rodziah yang juga EXCO pembangunan usahawan berkata program sama diteruskan bagi memastikan lebih ramai penjaja yang terjejas dapat dibantu.

“Kita akan meneruskan program seumpama ini atau dalam bentuk lain khusus buat penjaja dan peniaga kecil sama ada di DUN Batu Tiga malah di seluruh Parlimen Shah Alam,” katanya.


Pengarang :