Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir (tiga, kanan) bersama sebahagian anggota Pantas MBPJ ketika majlis pelepasan konvoi Misi Selangor Penyayang: Bantuan Pascabanjir Baling Kedah di dataran bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 6 Julai 2022. Foto Facebook MBPJ
PBT SELANGOR

19 anggota Pantas MBPJ sertai misi bantuan banjir Selangor ke Baling

SHAH ALAM, 6 JULAI: Seramai 19 anggota Skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyertai Konvoi Misi Selangor Penyayang bagi membantu mangsa banjir di Baling, Kedah hari ini.

Pihak berkuasa tempatan memaklumkan aset majlis turut digerakkan antaranya pacuan empat roda (4X4), van, lori dan Roll on Roll Off (RoRo).

“Beberapa perkakas untuk memudahkan operasi bantuan seperti pam air bertekanan tinggi, pemotong pokok dan alat pembersihan turut dibawa.

“Skuad Pantas MBPJ diketuai Pegawai Penguat Kuasa Asraf Mustaqim Rakal. Semoga semuanya selamat pergi dan kembali,” katanya menerusi Facebook.

Pagi tadi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan konvoi misi berkenaan di dataran pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di sini.

Kumpulan melibatkan penyertaan 189 pegawai pihak berkuasa tempatan serta 20 Sukarelawan Selangor (SERVE) dan diketuai Setiausaha Bahagian Unit Pengurusan Bencana Selangor Mohd Ikram Rahimi.

Hujan lebat hampir tiga jam di Baling pada petang kelmarin menyebabkan paras air Sungai Kupang melimpah memasuki kediaman penduduk berdekatan.

Tiga sekeluarga termasuk wanita hamil maut selepas dihanyutkan arus dalam kejadian kepala air dan banjir.


Pengarang :