EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman (dua,kiri) melawat tapak rerurai sempena Selangor Mega Job Fair di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 11 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

200 syarikat sertai karnival kerjaya September ini, tawar peluang untuk OKU

SHAH ALAM, 6 JULAI: Program Selangor Mega Job Fair kali kedua untuk tahun ini dijadual berlangsung pada September depan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman berkata program melibatkan lebih 200 syarikat itu turut memfokuskan sektor perhotelan dan sukan selain peluang kerjaya untuk orang kurang upaya (OKU).

“Atas komitmen mengekalkan kadar pengangguran bawah empat peratus, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan meneruskan Selangor Mega Job Fair 2022 kali kedua di MAEPS.

“Rakyat Selangor khususnya belia disaran mengambil peluang dengan mendaftar di www.selangorjobportal.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pekerjaan yang ditawarkan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Selangor Mega Job Fair 2022 kali pertama berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA pada 11 dan 12 Jun lalu yang disertai lebih 100 syarikat termasuk badan kerajaan dan agensi Kerajaan Negeri.

Inisiatif tersebut berjaya membantu seramai 1,996 individu mendapat pekerjaan manakala seramai 3,601 individu pula dipanggil menghadiri temu duga kali kedua oleh majikan setakat hari ini.

 


Pengarang :