Pembeli menunjukkan kupon RM5 diskaun jualan murah barangan asas yang ditaja Penyelaras DUN Batang Kali anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sempena Aidiladha di Jalan Kantan 2, Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada 6 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADN SELANGOR

300 kupon diskaun RM5 habis diedar lepas setengah jam jualan murah

HULU SELANGOR, 6 JULAI: Lebih 300 pengunjung hadir ke jualan murah barangan asas sempena Aidiladha di Jalan Kantan 2, Bukit Beruntung di sini, pagi tadi.

Jumlah itu direkod berdasarkan jumlah kupon diskaun RM5 ditaja Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad yang habis diedar kira-kira jam 9.30 pagi iaitu selepas setengah jam dibuka kepada orang awam.

Tinjauan SelangorKini mendapati orang ramai mula beratur sebelum jualan bermula dengan barangan asas masih di dalam kotak dan belum diletakkan di atas meja jualan, kira-kira jam 8.30 pagi.

Kehadiran pengunjung ke tapak lokasi jualan juga berjalan lancar hasil pengawasan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Orang ramai menyerbu jualan murah barangan asas anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sempena Aidiladha di Jalan Kantan 2, Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada 6 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Antara jualan yang paling mendapat sambutan adalah ayam seekor yang dijual RM15 dan minyak masak paket.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menganjurkan jualan murah barangan asas empat hari berturut-berturut di lima lokasi mulai semalam sempena Aidiladha.

Produk ditawarkan ialah ayam (RM15 seekor), telur ayam gred B (RM12 sepapan), minyak masak (RM2 sepeket), daging pejal (RM35 sekilogram) dan ikan sejuk beku (RM8 sepeket).

Jualan mulai jam 9 pagi hingga 2 petang itu turut menjual beras, beras pulut, ketupat mini, tepung, minyak masak botol dan gula.


Pengarang :