Anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memeriksa dapur sebuah kedai makan dalam Operasi Premis Bersih pada 30 Jun. Foto FB JKNS
AGENDANASIONAL

34 kedai makan kotor ada lipas, tikus diarah tutup

SHAH ALAM, 1 JULAI: Sebanyak 34 premis makanan diarah tutup selepas didapati kotor dengan hurungan lipas, lalat dan tikus selain mendapat markah dimerit yang rendah.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata arahan dikeluarkan ketika Operasi Premis Bersih ke atas 207 premis makanan kelmarin.

Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata JKNS turut mengeluarkan 263 notis 32B Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 dengan nilai kompaun RM167,300 kepada pemilik premis terbabit.

“Ia bertujuan memastikan premis bebas daripada keadaan yang boleh menjejaskan kesihatan atau pencemaran makanan.

“JKNS mahu kedai makan mengekalkan tahap kebersihan optimum untuk mengelak berlakunya kes keracunan makanan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menampal notis perintah tutup operasi sebuah kedai makan dalam Operasi Premis Bersih pada 30 Jun. Foto FB JKNS

Dr Sha’ari menyeru pengusaha makanan untuk sentiasa memastikan premis dan jualan mereka mematuhi perundangan yang termaktub dalam Akta Makanan 1983.

“Pengguna juga dinasihatkan sentiasa peka dan bijak memilih premis makanan yang bersih dan selamat.

“Pengguna boleh menyalurkan maklumat dan aduan premis kotor ke Pejabat Kesihatan Daerah selain melalui sistem pengurusan aduan awam dan Facebook JKNS,” katanya.


Pengarang :