KLANG, 1 JULAI: Sebanyak 46 ekor haiwan korban diagih di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Klang sempena Aidiladha ini.
Daripada jumlah itu, DUN Bandar Baru Klang menerima empat lembu dan 30 kambing manakala dua lembu dan 10 kambing lagi untuk DUN Selat Klang.
Bagi DUN Bandar Baru Klang, wakil rakyatnya berkata empat surau masing-masing menerima seekor lembu manakala 10 surau masing-masing tiga kambing.
“Bagi DUN Selat Klang, sebanyak dua surau menerima masing-masing seekor lembu dan lima surau lagi masing-masing menerima dua kambing,” kata Dato’ Teng Chang Kim.
“Sumbangan ini adalah dari anak-anak syarikat Kerajaan Negeri yang sudah menjadi tradisi lebih 10 tahun setiap kali menjelang Aidiladha.”
Bercakap selepas mengedarkan kupon berkenaan kepada wakil surau terlibat di Madrasah Darissalmiah di sini, Chang Khim berkata agihan haiwan berbeza di dua kawasan itu kerana DUN Bandar Baru Klang adalah kawasan EXCO.
Pada 19 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Selangor menerima sumbangan 660 lembu dan 1,000 kambing bernilai RM5.05 juta untuk ibadah korban kali ini.
Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan sumbangan itu diperoleh daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan pelbagai agensi lain.