Datuk Adi Putra ketika membawa watak Mat Kilau dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Adi Putra tahan azab sakit belakang lakon aksi silat filem Mat Kilau

Oleh INTAN SYUHADA AKHIR

Aksi Datuk Adi Putra menjelmakan perwatakan Mat Kilau cukup berkesan. Kelincahannya berpencak terakam kemas dalam minda mana-mana orang yang menonton wayang gambar itu.

Namun tiada yang tahu pemilik nama sebenar Mohamed Hadi Putera Halim mengenepi derita sakit tulang belakang sejak beberapa tahun lalu demi menjayakan naskhah legenda berkenaan. Pelakon kelahiran Singapura itu sanggup menahan azab melakonkan babak perlawanan hampir setiap hari.

“Boleh dikatakan setiap hari ada aksi lawan dan saya akui ia memang mencabar. Sehingga hari ini saya tidak melakukan pembedahan kerana ia melibatkan bahagian tulang yang paling bawah. Selagi boleh bertahan saya akan lakukan.

“Saya memang bergantung kepada ubat-ubatan alam seperti kerap minum air kelapa. Syukur Allah ciptakan air kelapa kerana ia sangat bermanfaat,” katanya.

Sepanjang penggambaran filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang menelan belanja RM8 juta, Adi mendedahkan tidak sedikit ujian yang dihadapi produksi termasuk pengarahnya Syamsul Yusof.

“Terlalu banyak keperitan sepanjang penggambaran. Kami beberapa kali melakukan sesi sumbang saran agar tidak lari daripada landasan cerita.

“Namun, pujian patut diberikan kepada pengarah kerana dia begitu gila mengarahkan naskhah ini. Jika ada babak tidak kena seperti baju tidak bersesuaian, pengarah akan lanjutkan hari penggambaran.

“Kita faham keputusan ini akan melibatkan logistik dan kewangan. Namun Syamsul sanggup lakukannya untuk memastikan visual dalam kepalanya dapat dijelmakan,” cerita Adi ketika ditemui Selangorkini baru-baru ini.

Sememangnya Adi tidak canggung membawakan aksi silat dalam Mat Kilau. Pelakon Lelaki Terbaik Filem Anugerah Skrin 2017 ini sebenarnya sudah pernah mendalami ilmu bela diri silat kalimah di Jawa, Indonesia.

Foto Facebook MAT KILAU THE MOVIE

Rujuk waris

Walau belum cukup sebulan, filem itu meraih kutipan sehingga melebihi RM80 juta sekali gus menobatkannya sebagai naskhah paling laris dalam sejarah perfileman Malaysia.

Rekod cemerlang itu menumpaskan deretan filem antarabangsa termasuklah The Avengers, Jurassic World, Spiderman dan Black Panther.

Semestinya, Adi selaku peneraju utama filem menjadi tumpuan kerana membawakan watak tokoh kepahlawanan penting bangsa dengan sangat cemerlang sepanjang 117 minit tayangan.

“Sebenarnya saya dua kali menolak tawaran untuk melakonkan watak Mat Kilau kerana takut tidak mampu membawakan watak tokoh yang sangat hebat itu.

“Namun melihat kesungguhan Syamsul melamar saya untuk watak itu kali ketiga, saya akhirnya bersetuju setelah melakukan beberapa kajian.

“Foto terakhir Mat Kilau kita lihat ketika umurnya sudah tua. Kita tiada gambaran Mat Kilau ketika berumur 30-an atau 40-an. Jadi saya sempat bertemu warisnya yang masih ada untuk bertanya beberapa perkara. Bagi menjayakan watak yang diberi, saya juga melakukan rujukan ilmu persilatan dan keagamaan,” katanya.

Bercakap tentang resipi kejayaan Mat Kilau, Adi berpendapat industri perfileman negara tidak pernah memiliki filem ketokohan epik yang membawa latar 1890-an.

Maka Mat Kilau secara tidak langsung bertindak sebagai alat yang merakam sesebuah zaman termasuklah aspek pakaian dan bahasa kepada generasi hari ini.

“Mat Kilau bukan setakat menghibur, tetapi juga mendidik kerana terdapat unsur-unsur budaya di dalamnya. Di luar sana dapat kita lihat pelbagai lapisan umur memakai busana Melayu sewaktu menonton filem ini.

“Mat Kilau bukan sekadar filem yang bersifat memberi kepuasan sementara. Fenomena ini terjadi kerana izin-Nya juga,” katanya.

Kali terakhir Malaysia mempunyai naskhah filem dengan genre epik sejarah adalah pada 2011 menerusi Hikayat Merong Mahawangsa. Sebelas tahun kemudian barulah kita menerima satu lagi naskhah dengan genre ini kerana ia memerlukan kos yang sangat tinggi untuk dihasilkan.

“Bukan mudah berlakon dalam filem epik kerana kita perlu membawakan suasana dan tutur kata pada zaman tertentu. Selain itu kita perlu mengambil kira nilai komersial yang boleh menarik lebih ramai penonton ke pawagam.

“Jika ada pengkarya yang ingin menghasilkan naskhah dengan genre ini, semoga Mat Kilau boleh dijadikan rujukan,” katanya.

Lebih banyak tulisan dan berita menarik dalam akhbar minggu ini. Klik pautan akhbar digital.


Pengarang :