Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Simposium Pra-Pelancaran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN harap Rancangan Selangor Satu tumpu elemen bangun identiti, budaya

SHAH ALAM, 18 JULAI: Rancangan Selangor Satu (RS-1) yang akan dibentang minggu depan diharap menggariskan elemen pembangunan identiti dan budaya masyarakat setempat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong Wong Siew Ki berkata aspek tersebut berkait dengan ekonomi penduduk dan memerlukan perancangan jangka panjang.

ADN Balakong Wong Siew Ki

“Misalnya pembangunan identiti boleh ditonjolkan melalui pelancongan tempatan. Jika kita mahu tingkatkan ekonomi, maka pelancongan adalah salah satu daripadanya,” katanya ketika dihubungi.

Beliau juga mahu RS-1 menumpukan aspek perubahan iklim berikutan Selangor dijangka negeri yang paling serius menerima dampak susulan pembangunan pesat kemudahan infrastruktur.

Sementara itu, wakil rakyat Bukit Lanjan Elizabeth Wong berkata pemerkasaan wanita dan kelestarian alam sekitar antara isu yang wajar diberi perhatian dalam RS-1.

ADN Bukit Lanjan Elizabeth Wong

“Kita mahu penglibatan wanita dalam semua sektor termasuk perancangan pembangunan, manakala isu alam sekitar membabitkan perubahan iklim.

“Sebagai negeri maju, aspek ini perlu dirancang sebaik mungkin dan teratur supaya dapat menjadi contoh kepada negeri lain,” katanya.

Bagi ADN Taman Templer, RS-1 perlu mengambil kira soal kesejahteraan rakyat untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang susulan peningkatan kadar migrasi penduduk negeri lain ke Selangor.

ADN Taman Templer Mohd Sany Hamzan 

Justeru Mohd Sany Hamzan yakin Kerajaan Negeri mampu merancang aspek berkenaan dengan menyediakan pekerjaan, perumahan dan pendidikan anak-anak dengan lebih baik.

“Jika penduduk Selangor bertambah kepada lapan juta, sekurang-kurangnya kita sudah ada persediaan ke arah itu. Ini bukti Kerajaan Selangor cakna dan bertanggungjawab,” katanya.

Minggu lalu, Dato’ Menteri Besar melancarkan Majlis Simposium Prapelancaran RS-1 2021-2025 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan RS-1 memfokuskan empat prinsip utama merangkumi ekonomi, sosial, kelestarian dan tadbir urus bagi menjayakan agenda Negeri Pintar menjelang 2025.

Kerangka jelas berkenaan RS-1 akan dimaklumkan ketika pelancarannya pada 25 Julai ini sempena pembukaan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).


Pengarang :