Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik Najwan Halimi bercakap kepada media ketika majlis Rumah Terbuka DUN Kota Anggerik di Dewan Konvensyen MBSA pada 22 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN Kota Anggerik harap pelan tindakan banjir MBSA diselaras dalam RS-1

SHAH ALAM, 30 JULAI: Pelan tindakan banjir yang dibentangkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diharap dapat dilaksanakan selaras dengan perancangan induk yang digaris dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik Najwan Halimi berkata perkara itu bagi menjamin pelaksanaan projek mitigasi banjir yang benar-benar berkesan dan tidak seperti melepaskan ‘batuk di tangga’.

“Saya melihat pelan tindakan banjir yang dibentang MBSA ini merupakan satu perancangan bersifat responsif dan proaktif yang senada dengan perancangan Kerajaan Negeri dalam RS-1.

“Justeru, saya berharap Pelan Tindakan Banjir Shah Alam ini dilaksanakan selaras dengan perancangan induk yang digariskan dalam RS-1,” katanya ketika berbahas usul RS-1 pada sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Pada masa sama, Najwan memuji inisiatif dilaksanakan MBSA yang tampil dengan langkah proaktif dalam menangani isu bah besar dengan perancangan melibatkan peruntukan hampir RM160 juta.

“Saya bersyukur kerana dalam tempoh kurang enam bulan dari tarikh berlakunya bah besar di Selangor, pihak MBSA tampil dengan langkah terbaik menerusi pengumuman Pelan Tindakan Banjir Shah Alam (SASuD).

“Saya difahamkan pelan ini merangkumi tiga fasa iaitu jangka pendek,sederhana dan panjang dengan tumpuan di kawasan berisiko tinggi seperti Taman Sri Muda, Seksyen 13 dan TTDI Jaya di sini,” katanya.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar membentangkan RS-1 yang menjadi kerangka pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM212.44 bilion.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM92.44 bilion disalur kepada projek pembangunan peringkat negeri termasuk pelaksanaan beberapa insentif bagi menjamin kebajikan rakyat.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri akan mengeluarkan dana RM7.16 bilion manakala baki melebihi RM80 bilion dibiayai anak syarikat serta pihak swasta.


Pengarang :