BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

ADN Kota Damansara mudah dekati rakyat, amal dasar pintu terbuka

Pengalaman hampir tiga tahun sebagai ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) banyak membantu Shatiri Mansor memahami keperluan rakyat hingga diangkat sebagai wakil rakyat.

Pemimpin berusia 59 tahun yang pernah berkhidmat lebih dua dekad sebagai jurutera aeroangkasa juga sentiasa berusaha menyelesaikan masalah rakyat dan bersikap terbuka dalam pentadbirannya.

Wartawan Sheeda Fathil menyingkap kisah politik Ahli Dewan Negeri Kota Damansara dan perancangannya untuk terus memajukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara.

Boleh kongsi penglibatan awal dalam politik hingga bertanding di DUN Kota Damansara?

Saya melanjutkan pengajian di Wichita State University, Amerika Syarikat dalam bidang Sains Kejuruteraan (Aeronautik) kemudian bekerja sebagai jurutera aeroangkasa lebih 20 tahun di syarikat Airod Sdn Bhd di Kota Damansara. Saya juga pernah menjadi EXCO Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagi membela nasib pekerja baik kakitangan kerajaan mahupun swasta, saya banyak menyuarakan nasib pekerja yang ditindas oleh majikan. Sudah menjadi kebiasaan sebagai seorang jurutera mahu memastikan sesuatu masalah itu diselesaikan sebaik-sebaiknya. Sama seperti masalah pekerja yang ditindas, saya mahu mereka mendapat pembelaan dan saya cuba berusaha untuk bantu.

Kemudian, saya dilantik pula sebagai ahli majlis MBPJ. Pada mulanya saya tidak tahu bagaimana tugas selaku ahli majlis sehingga saya diberi mandat memegang jawatan tersebut hampir tiga tahun sebelum dipecat kerana isu politik. Namun, hikmah di sebalik pemecatan itu tanpa disangka saya dicalonkan oleh kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) untuk bertanding sebagai calon wakil rakyat Kota Damansara dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Memang di luar jangkaan kerana saya tiada perancangan untuk menjadi wakil rakyat. Alhamdulillah, tanpa disangka saya menang besar dengan memperoleh majoriti 26,440 undi.

Selepas menjadi wakil rakyat, apakah fokus untuk membangunkan kawasan yang dimenangi?

Saya menetap di DUN Kota Damansara lebih 30 tahun, kawasan ini sebati dengan diri saya. Yang penting, saya mengenali segala ceruk rantau kawasan dan mereka yang menetap di sini tanpa mengira tempat dan bentuk perumahan. Malah, terdapat pelbagai keunikan dan kepelbagaian di Kota Damansara. Saya sangat gembira untuk menjadi sebahagian daripada mereka. Sebagai individu yang masih memperjuang nasib pekerja dan pernah berasa pedihnya hilang kerja, tentulah saya berkongsi rasa dengan penduduk yang berdepan masalah sama. Maka, saya harus membela pekerja.

Sumbangan bakul makanan yang menjadi kaedah wajib tentu bukan satu penyelesaian secara tuntas atas pokok permasalahan. Tetapi saya lakukan ini dengan memastikan saya sendiri menyampaikannya. Berapa ramai pun penerimanya, setiap seorang saya sendiri yang mahu menyampaikannya. Bukan saya bagi kepada seorang dua penerima dan dirakam gambarnya dan kemudiannya saya pergi, sedangkan saya sepatutnya mengenali kesemua penerima. Oleh itu, saya lakukan penyerahan dari rumah saya sendiri supaya saya dapat mengenali dengan lebih dekat mereka yang benar-benar memerlukan bantuan selain mengeratkan hubungan antara rakyat dan wakil rakyat.

Shatiri Mansor berucap kepada jemaah selepas majlis berbuka puasa di sebuah rumah ibadah dalam DUN Kota Damansara. Foto Facebook Shatiri FanClub

Saya mengamalkan polisi open-door (pintu terbuka) terutama pada Rabu setiap minggu, yang diperuntuk khas kepada penduduk supaya boleh berjumpa dengan saya tanpa perlu janji temu. Kaedah ini dibuat bagi memecahkan jurang antara wakil rakyat dan penduduk.

Apakah perkara yang perlu diberi perhatian terutama daripada aspek prasarana?

Lebih 50 peratus kawasan di sini ditadbir MBPJ manakala 50 peratus lagi bawah Majlis Bandaraya Shah Alam. Kedua-duanya berstatus bandar raya. Oleh itu, kemudahan prasarana kebanyakannya cukup, cuma mungkin masalah kesesakan lalu lintas berlaku. Namun, tidak lama lagi akan ada Lebuhraya Bertingkat
Damansara-Shah Alam (DASH) yang saya rasa boleh mengurangkan kesesakan. Selain itu, ada juga beberapa projek besar yang sudah diluluskan tetapi sedang tunggu untuk dimulakan iaitu gerai penjaja di Seksyen 6, Masjid Kota Damansara 2 dan Masjid Subang Bestari.

Bagaimanakah Inisiatif Peduli Rakyat (kini Iltizam Selangor Penyayang) membantu golongan berpendapatan rendah (B40)?

Inisiatif ini sangat bagus dan membantu golongan B40. Antara yang menjadi perhatian saya ialah Skim Mesra Usia Emas (SMUE). Kebanyakan penerima perlu ke pusat khidmat untuk mendapatkan baucar tetapi saya edarkan dari rumah. Penerima boleh singgah di rumah saya untuk mengambil baucar. Tindakan ini dibuat selepas mengambil kira warga emas yang perlu naik ke tingkat tiga untuk ke pusat khidmat saya, jadi kita memudahkan mereka. Kehendak rakyat semakin bertambah dan semua inisiatif sampai kepada golongan sasaran dan tidak terjejas, malah ramai dapat manfaat seperti dirancang Kerajaan Negeri.

Jumlah penerima manfaat skim Kerajaan Negeri ialah SMUE (3,388), Peduli Sihat (1,401), Tabung Warisan Anak Selangor (7,003), Kasih Ibu Smart Selangor (235) dan Anak Istimewa Selangor (43).

Shatiri Mansor (dua, kiri) menyampaikan bantuan bakul makanan kepada seorang penduduk yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19. Foto Facebook Shatiri FanClub

Pandemik Covid-19 menjejaskan ramai pihak, apakah usaha bagi membantu penduduk yang terkesan?

Bantuan disalur daripada Kerajaan Negeri dan pejabat DUN tetapi kita juga menerima sumbangan daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), Team Selangor, Lembaga Zakat Selangor, rakan-rakan ADN lain, badan bukan kerajaan serta persendirian. Saya anggar lebih 5,000 bakul makanan diagih kepada mangsa Covid-19. Bakul makanan pula saya sentiasa sediakan di rumah atau di pusat khidmat supaya sesiapa sahaja yang hadir memohon mereka boleh dapatkan terus.

Bagaimanakah pula bentuk bantuan ketika banjir melanda?

Secara spesifik saya tiada data terperinci tetapi lebih 50 peratus mangsa banjir di Kampung Melayu Subang di sini menerima Bantuan Selangor Bangkit. Cuma kita hendak ingatkan, bantuan Kerajaan Negeri diuruskan pejabat daerah dan tanah manakala wang Ihsan kerajaan pusat pula Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).
Apabila kerajaan pusat belum memberi bantuan sepatutnya, kita memang usaha untuk mendesak mereka agar ia disegerakan.

Apakah cabaran dan rintangan yang dihadapi dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat dan bagaimana mengatasinya?

Saya cinta dengan kerja saya sekarang ini sebagai wakil rakyat dan dengar masalah rakyat serta cuba untuk membantu. Namun, menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat sememangnya amat besar dan mencabar terutama apabila kita usaha untuk selesaikan semua masalah tetapi tidak mampu. Contohnya apabila ramai kehilangan kerja ketika pandemik Covid-19, mereka hilang pendapatan dan apa yang boleh kita bantu mungkin tidak banyak tetapi kita cuba membantu sebolehnya.

Selain itu, cabaran lain ialah kejujuran bagi pihak saya dan masyarakat. Saya memang agak teliti dengan memastikan mereka yang benar-benar memerlukan sahaja boleh terima bantuan. Hal ini bukan bermakna kita tidak mahu bantu tetapi kita mahukan keadilan. Saya janji apabila rakyat minta saya boleh bagi. Contoh bantuan kewangan tetapi saya tidak janjikan berapa, yang penting saya akan selidik dahulu latar belakang mereka bagi memastikan yang benar-benar memerlukan terima bantuan.

Apakah perancangan jangka panjang untuk meningkatkan kemajuan di DUN?

Seperti saya kata tadi kemajuan daripada segi prasarana kebanyakan sudah maju kerana DUN Kota Damansara di bawah majlis bandar raya. Insya-Allah saya merancang mahu membina sekolah agama di Subang Bestari tidak lama lagi kerana ia permintaan daripada penduduk, saya akan bawakan perkara ini dalam sidang Dewan Negeri Selangor akan datang untuk diusulkan. Selain itu, saya akan mengusulkan agar dipercepat pembinaan Masjid Kota Damansara 2 dan Masjid Subang Bestari bagi kemudahan umat Islam menunaikan solat. Seperti kita sedia maklum DUN Kota Damansara memiliki pasar karat yang cukup popular digelar sebagai Kota Dame yang sering menjadi tumpuan penduduk setempat mahupun luar. Insya-Allah saya bercadang mahu memohon pembinaan gerai berniaga yang lebih kondusif buat peniaga di sana pada masa akan datang.

Sebagai wakil rakyat, Shatiri Mansor sering mendampingi masyarakat terutama warga emas bagi mendapat maklum balas berhubung masalah dan bantuan diperlukan mereka. Foto Facebook Shatiri FanClub

Bagaimana YB melihat sokongan dalam PRU akan datang? Adakah YB yakin sokongan rakyat meningkat?

Saya serahkan pada rakyat kerana saya sudah berikan yang terbaik. Hampir setiap hari walaupun sebelum menjadi wakil rakyat saya sentiasa bersama mereka kerana sudah lebih 30 tahun saya menetap di Kota Damansara. Ketika menggalas tanggungjawab sebagai ADN, setiap Ramadan pula saya selalu mengambil inisiatif untuk ke seluruh 65 masjid dan surau di Kota Damansara untuk menyantuni rakyat, berbuka dan menunaikan solat jemaah bersama mereka termasuk memberi sumbangan. Sama ada saya bertanding lagi atau tidak pada PRU akan datang, saya serahkan pada kepimpinan parti.

Apakah usaha yang digerakkan pada peringkat akar umbi bagi menarik sokongan pengundi baharu?

Isu pengundi muda ini memang satu perkara yang amat mencabar kerana situasi anak muda masa kini yang amat kurang kecenderungan dengan politik dan beranggapan politik itu kotor, bermasalah atau buang masa. Ini yang menjadi cabaran bukan sahaja kepada saya tetapi kepada semua wakil rakyat di negara ini. Justeru, sebagai ADN Kota Damansara saya sering mengambil pendekatan mendekati anak muda secara santai. Saya sering menganjurkan program ‘ad-hoc’ bersama mereka kerana kebanyakan anak muda tidak sukakan sesuatu yang formal.

Saya juga ada Penggerak Belia Selangor (PeBS) yang banyak membantu dalam menarik golongan muda. Sebagai contoh kita dekati mereka dengan minum santai di restoran bersama atau menganjurkan program sukan seperti pertandingan bola sepak, badminton atau apa sahaja yang kena dengan jiwa mereka. Pada masa sama, kita cuba bina kepercayaan bahawa tugas sebagai wakil rakyat itu menyeronokkan.

Pandangan mengenai perpecahan pembangkang? Adakah ia menjejaskan sokongan di Selangor?

Saya yakin Pakatan Harapan teguh di Selangor, saya amat bersyukur dan gembira bekerja bawah pentadbiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang berdedikasi dan cukup prihatin dengan rakyatnya. Justeru, saya yakin apabila kita menjaga hati rakyat selesaikan masalah mereka sebaiknya sudah pasti Selangor masih di bawah pentadbiran Pakatan Harapan pada masa akan datang. Parti ini kuat dan lebih dikenali berbanding parti baharu yang wujud yang belum terbukti atau yakin mahu mentadbir negeri waima negara sekalipun.


Pengarang :