ADN Bukit Lanjan Elizabeth Wong (tiga dari kanan) bergambar di depan booth Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) di Pangsapuri Taman Bidara pada 2 Julai 2022. Foto NORZILAWATI SIDEK/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN seru masyarakat mohon kemudahan pinjaman Kerajaan Negeri

SELAYANG, 4 JULAI: Wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan menyeru rakyat memohon kemudahan pinjaman yang disediakan Kerajaan Negeri untuk mengubah hidup mereka.

Elizabeth Wong Keat Ping berkata orang ramai khususnya di DUN berkenaan perlu mengambil kesempatan memohon inisiatif itu menerusi Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

“”Sesiapa ada perniagaan boleh berbincang bagaimana cara mendapatkan pinjaman sehingga RM5,000 dengan kadar bunga yang sangat sedikit.

“Jangan lepaskan peluang ini kerana Kerajaan Negeri mahu membantu secara pinjaman untuk menjalankan perniagaan,” katanya pada Majlis Perasmian Sistem Lampu Solar Pangsapuri Taman Bidara Sabtu lalu.

Tambah Elizabeth ada penduduk di kawasannya pernah berkongsi kejayaan selepas menerima bantuan daripada Hijrah.

“Mereka pinjam sehingga RM10,000 untuk dijadikan modal tambahan dan kedai mereka dapat keuntungan yang bagus. Hari ini mereka masih menjalankan peniagaan dan berjaya,” katanya.

Menerusi Pakej Kita Selangor, Kerajaan Negeri memberi peruntukan awalan RM10 juta untuk membantu peniaga mendapatkan pelan pinjaman minimum RM1,000 dan maksimum RM5,000 serta boleh memilih tempoh biaya antara enam bulan hingga tiga tahun.

Tahun ini, Hijrah menyasarkan sebanyak 1,722 pemohon Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) dengan jumlah pembiayaan RM8.61 juta.

Terbuka kepada wanita dan semua kaum, individu berminat boleh memohon melalui laman sesawang http://www.hijrahselangor.com atau hubungi pegawai pembiayaan di 20 cawangan Hijrah.


Pengarang :