Ratusan orang ramai membanjiri Karnival Jualan Ehsan Aidiladha di Jalan GP2, Taman Gombak Permai pada 8 Julai 2022 bagi mendapatkan barangan asas sebagai persiapan menyambut Aidiladha. Foto SHEEDA FATHIL
AGENSISELANGOR

Aidiladha: 500 penduduk Gombak kunjungi jualan murah takat 11 pagi

GOMBAK, 8 JULAI: Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah di Karnival Jualan Ehsan Aidiladha di Jalan GP2, Taman Gombak Permai, di sini hari ini.

Tinjauan Selangorkini mendapati pengunjung mula beratur sejak jam 7 pagi meskipun program anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bermula jam 9 pagi.

Setakat 11 pagi tadi, lebih 500 pengujung hadir bagi mendapatkan barangan keperluan untuk persiapan menyambut Aidiladha.

Bagaimanapun, keadaan trafik sekitar dan pengerakkan pengunjung di tapak jualan berkenaan lancar dengan pengawasan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia dan jawatankuasa penduduk.

Bermula di Sijangkang pada 5 Julai, karnival empat hari diteruskan di Bukit Beruntung dan Tanjung Sepat.

Selain jualan di sini, karnival sama turut berlangsung serentak di belakang Blok D dan E, Pangsapuri Inai, Pandan Indah.

Produk ditawarkan ialah ayam (RM15 seekor), telur ayam gred B (RM12 sepapan), minyak masak (RM2 sepaket), daging pejal (RM35 sekilogram) dan ikan sejuk beku (RM8 sepaket).

Barangan sampingan lain turut dipasarkan seperti beras, beras pulut, ketupat mini, tepung, minyak masak botol dan gula.

Sejak Disember tahun lalu, jualan murah PKPS sudah berlangsung di 64 lokasi seluruh negeri bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Pada 19 Mei lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program tersebut berjaya memanfaatkan 60,000 keluarga.


Pengarang :