Anggota polis menyuraikan aliran trafik memasuki Melaka sempena Op Selamat 18 ketika tinjauan pada 4 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Aidiladha: Polis laksana Op Lancar mulai esok

KUALA LUMPUR, 7 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan Op Lancar di seluruh negara bermula esok bagi memastikan kelancaran aliran trafik sempena perayaan Aidiladha yang disambut Ahad ini.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata operasi sehingga 10 Julai (Ahad) itu melibatkan seluruh kekuatan petugas di lapangan termasuk kereta peronda dan unit rondaan bermotosikal.

“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) juga telah mengenal pasti kawasan ‘hot spot’ yang dijangka sesak selain pemantauan melalui dron Pasukan Gerakan Udara PDRM bagi mengesan kesalahan menggunakan lorong kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengguna jalan raya disaran merancang perjalanan dan peka dengan informasi aliran trafik semasa serta patuh kepada peraturan lalu lintas.

“PDRM komited untuk memastikan keselamatan dan keselesaan orang ramai sepanjang perjalanan bagi meraikan Aidiladha dalam suasana kekeluargaan yang sejahtera,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :