Gangguan bekalan elektrik di kawasan Permatang Damar Laut, Pulau Pinang pada 8 Julai 2022 disebabkan kerosakan dua kabel 33kV. Foto Facebook TNB Careline
AGENDANASIONAL

Alat PMU rosak di Yong Peng punca gangguan bekalan elektrik

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Gangguan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sejak 12.39 tengah hari ini berpunca daripada kerosakan satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

TNB dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerosakan itu mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2 gigawatt (GW) yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia.

Menurut TNB, bekalan elektrik di kawasan mengalami gangguan berjaya dipulihkan sepenuhnya pada 3.02 petang yang mana kebanyakan kawasan terjejas berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit gangguan berlaku, hasil usaha berterusan pasukan teknikal syarikat utiliti itu.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini. Untuk sebarang pertanyaan mengenai gangguan bekalan, pengguna boleh menghubungi talian TNB Careline di 15454,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA


Pengarang :