Paparan skrin Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika berucap dalam Kongres Nasional Tahunan AMK di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada 15 Julai 2022. Foto Facebook Parti Keadilan Rakyat
AGENDANASIONAL

AMK: Hentikan bisik-bisik keputusan pemilihan KEADILAN, tumpu hadapi PRU15

SHAH ALAM, 15 JULAI: Setiap anggota Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diminta menghentikan bisik-bisik mengenai keputusan pemilihan parti yang berlangsung baru-baru ini.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK)  Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata anggota parti perlu menghormati pimpinan yang terpilih terutama gandingan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya Rafizi Ramli.

“Seluruh anggota KEADILAN mahukan Anwar Ibrahim kekal sebagai presiden manakala majoriti memilih Rafizi Ramli sebagai timbalan. Saya sokong mereka bergandingan dan menerajui KEADILAN menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Para perwakilan dan para pemerhati tumpukan perhatian kepada kedua-dua tokoh ini. Kalau ada cakap-cakap…bisik-bisik hentikanlah, pemilihan parti sudah berlalu.

“Setiausaha agung (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) pun sudah tegur supaya hormat disiplin organiasi,” katanya dalam Kongres Nasional Tahunan AMK di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam di sini, hari ini.

Akmal Nasrullah berkata setiap anggota berperanan membina keyakinan rakyat supaya memilih KEADILAN untuk membela nasib mereka pada PRU15.

“Tiga persoalan penting adalah adakah kita ada keupayaan, apakah rakyat mahukan sebenarnya dan bagaimana hendak menjayakan semua usaha tersebut.

“Kita perlu garap segala kekutan menuju PRU15. Selain itu, kita perlu fokus kempen pengundi atas pagar, sedarkan masyarakat mengenai potensi dan peluang apabila KEADILAN diangkat menerajui negara, insya-Allah,” katanya.

 


Pengarang :