AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ampang Jaya potensi jadi bandar raya jika penuhi dasar komuniti lestari

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Kerajaan Negeri sedia menyokong pertukaran status Ampang Jaya kepada bandar raya jika dapat menepati beberapa kriteria bersesuaian keadaan kawasan pentadbirannya

Dato’ Menteri Besar berkata Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) perlu bekerja keras merangka dasar kehidupan lestari yang memenuhi keperluan rakyat jika mahu dinaik taraf sebagai bandar raya.

“MPAJ berulang kali menyatakan hasrat untuk bandar raya. MPAJ perlu susun semula bandar mereka yang sesak. Ada kawasan melingkari kawasan golongan berpendapatan rendah (B40) dan M40 (pertengahan) dan kayangan.

“Saya percaya MPAJ mampu galas cabaran ini. Kejayaan kita bukan hanya dilihat berdasarkan kutipan hasil yang banyak sahaja tetapi bagaimana gabungkan dengan harapan rakyat, keperluan rakyat,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 MPAJ di sini, malam tadi. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim dan Timbalan Yang Dipertua MPAJ Julaihah Jamaludin.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar mengingatkan MPAJ melakukan kajian menyeluruh berhubung kejadian tanah runtuh yang berlaku terutama sekitar Ukay Perdana, UK Height dan Bukit Antarabangsa.

“Kita perlukan data, kajian. Kalau buat kerja berdasarkan pengalaman, gerak hati… berkemungkinan musibah ini berlaku lagi.

“Jadi, kajian menyeluruh aspek bencana ini perlu dilakukan. Untuk maju ke depan, kita harus berfikiran jauh,” katanya.

Pada 11 Mac, kejadian tanah runtuh berlaku di Taman Bukit Permai 2, Ampang yang mengorbankan empat mangsa selain menjejaskan 15 kediaman serta 10 kenderaan.


Pengarang :