Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan pengulunggan sempena Kongres Nasional ke-16 KEADILAN di Ideal Convention Centre, Shah Alam pada 17 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar arah semua cabang susun strategi, persiap jentera hadapi PRU15

SHAH ALAM, 17 JULAI: Semua cabang dan ranting Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diminta segera menyiapkan jentera dari sekarang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran tidak akan mengangkat mana-mana calon untuk mewakili parti sekiranya cabang berkenaan tidak memiliki jentera.

“Percayalah dalam penilaian kali ini, kita semak. Cabang atau calon tak ada persiapan jentera jangan harap diangkat jadi calon.

“Gendang hampir dipalu. Jadi pahlawan harus bangkit. Betul, saya kempen kuat tetapi bila jentera lemah ia akan merosakkan sistem,” katanya berucap di sesi penggulungan dan penangguhan Kongres Nasional ke-16 KEADILAN hari ini.

Anwar berkata setiap cabang tidak boleh merasa selesa dan menganggap tugas kepada rakyat selesai dengan pemberian bantuan kebajikan semata-mata.

“Sumbangan kepada masjid, surau itu tanggungjawab kita pada rakyat. Itu bukan persiapkan jentera.

“Kerja sebagai ahli parlimen, ahli dewan undangan negeri kena teruskan tetapi dalam masa sama tetap sediakan jentera kena susun strategi. Harap perkara ini diberi perhatian,” katanya.


Pengarang :