Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada sesi penggulungan Sidang Nadi Rakyat anjuran Parti Keadilan Rakyat di Hotel Crystal Crown pada 2 Julai 2022. Foto NORZILAWATI SIDEK/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Anwar: Jurang kemiskinan lebar akibat pemimpin rasuah, salah guna kuasa

PETALING JAYA, 2 JULAI: Tahap kemiskinan di negara ini semakin ketara manakala jurangnya kian lebar akibat ramai pemimpin kerajaan terpalit rasuah dan salah guna kuasa.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelbagai lapisan rakyat mengeluh kesusahan lantaran golongan elit politik hanya mengaut kekayaan untuk diri sendiri.

“Ini bukan soal kaum, ada elit politik Melayu yang khianat, selain Cina dan India yang kaut keuntungan termasuk dalam kalangan pekerja dari Bangladesh. Semua terpalit dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” kata ketua pembangkang itu ketika berucap dalam Sidang Nadi Rakyat anjuran KEADILAN di sini hari ini.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan menegaskan tiga negeri yang ditadbir pembangkang iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan sebaliknya sentiasa mendengar rintihan rakyat pelbagai kaum sejak dahulu lagi .

“Saya syorkan rakan-rakan (KEADILAN) turun ke bawah, tiap negeri dan daerah, bukan semestinya aktivis parti untuk mendengar suara pesawah, pemandu Grab, teksi, pekerja, penganggur, anak muda dan wanita.

“Oleh itu, kerja kita seru anak muda, Melayu, Cina, India dan Kadazan bangkit selamatkan negara ini dan tolak rasuah. Menang kalah soal lain, soal kerja harus utama,” katanya.


Pengarang :