Wawancara khas Media Selangor bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) di pejabatnya di Bukit Gasing, Petaling Jaya pada 4 Julai 2022. Foto FADZA ISHAK/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Anwar: Kerajaan gagal tangani lonjakan harga, pemimpin ‘berlaga’ sesama sendiri

Lonjakan kos sara hidup kebelakangan ini membebankan segenap lapisan masyarakat. Lebih buruk lagi, tiada tindakan tuntas yang mampu membendung masalah itu, bahkan situasi sedia ada kian memburuk berikutan kenaikan kadar inflasi makanan mencecah angka tertinggi.

Ketidaktentuan politik tanah air yang belum menunjukkan tanda-tanda reda menambahkan lagi kegelisahan rakyat yang sebelum ini diasak dengan isu pandemik dan bencana alam.

Ketua Kluster Digital Media Selangor Khairulnizam Bakeri, Ketua Pengarang Selangorkini Fazallah Pit dan Editor Selangor Journal Ida Nadirah Ibrahim mendapatkan pandangan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam wawancara eksklusif pada 4 Julai.

Kadar inflasi makanan naik 25 peratus pada Mei, angka tertinggi sejak 2011. Ini menyebabkan rakyat terhimpit dari segi kos sara hidup. Bagaimana Datuk Seri sebagai bekas menteri kewangan melihat situasi ini?

Itulah apabila pimpinan tidak faham masalah dan derita rakyat. (Bekas Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail beritahu beberapa hari lalu. Beliau beli betik, pisang dan buah-buahan yang biasa dulu dalam sekitar RM15 untuk majlis di rumah tetapi kini cecah sampai RM50.

Tinggi mendadak tetapi kalau tanya perdana menteri, ‘ini perkara yang biasa, naik sedikit dan ini berlaku di semua negara di dunia.’ Ya tetapi cara menanganinya sebagai pimpinan itu yang kita pertikai. Mereka marah bila saya ada sebut ‘bangang’ dan mungkin kasar sedikit tetapi maksudnya tepat.

Saya beritahu pengalaman masa timbalan perdana menteri dan menteri kewangan. Sebulan setengah sebelum bulan puasa, kerana kita jangka seminggu sebelum raya, akan naik harga barang. Tidak perlu tunggu keadaan perang Rusia dan Ukraine.

Itu yang saya katakan, dianggap rakyat ini bodoh seolah-olah ini pertama kali berlaku. Tidak! Setiap kali perayaan termasuk hari raya Cina dan raya puasa (atau) seumpamanya, harga barang dijangka naik.

Orang ramai membeli barang keperluan harian seperti minyak masak paket dan telur ayam ketika tinjauan di Seksyen 15 Shah Alam pada 1 Julai 2022. Foto BERNAMA

Maka berdasarkan pengalaman tahun-tahun sebelumnya, kita panggil mesyuarat jawatankuasa kabinet yang saya pengerusikan. Tanya jangkaan harga telur, ayam, sayur dan masa itu kalau ada AP (permit kelulusan). Saya masih ingat lagi AP sayur yang diimport dari Medan, Indonesia. Saya minta menteri pertanian perluas import, lebihkan telur dan ayam selain tempatan. Saya tanya mereka pengeluaran berapa dalam tempoh seminggu. Dua minggu kemudian beri laluan kepada syarikat Thailand untuk mengimport waktu itu.

Justeru apabila langkah itu diambil, walau harga barang naik tetapi masih terkawal. Kalau pegawai kementerian siasat di kedai-kedai pun kita faham. Sekarang kamu (kerajaan) siasat di kedai dan kamu denda lagi peniaga yang sudah susah.

Saya makan baru-baru ini selepas solat Jumaat di Kampung Pandan. Di warung-warung dekat situ (peniaga) semuanya mengeluh, ‘buat apa kacau kami, harga barang sudah begitu rupa, kami beli begitu rupa.’ Semua kena sita dan kena denda.

Yang patut dikendali, kalau pengalaman saya, termasuk pengeluar. Pergi tengok di tempat pengeluaran ayam dan peti sejuk mereka. Ada atau tidak disorok ayam? Jadi, dia mesti langkah yang menyeluruh dan kemudian beberapa langkah tambahan seumpamanya.

Ini bukan urusan Kerajaan Selangor tetapi oleh sebab (harga) naik, maka pimpinan negeri mengambil inisiatif tambahan. Saya pergi sendiri ke pasar di Shah Alam dan lihat Kerajaan Negeri boleh (bantu rakyat). Tentunya tidak seperti kerajaan persekutuan, dengan peti sejuknya, dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) tetapi bila ada inisiatif, Kerajaan Negeri masih boleh mengurangkan sedikit kenaikan harga.

Ini maksud saya, jawatakuasa dalam kerajaan pimpinan perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (hanya) buat enam bulan lebih setelah harga melonjak naik. Saya rasa dekat setahun sudah melonjak naik. Enam bulan sudah betul-betul naik dan tiga bulan yang teruk, baru ditubuhkan jawatankuasa khas Kabinet.

Ini yang saya sebut istilah yang agak keras dan kasar sikit yang mereka marah ‘oh seolah-olah kerajaan tidak buat apa.’ Kerajaan buat, siapa kata tidak buat apa-apa. Tetapi orang kata, sekadar sambil lewa. Dia (kerajaan) tidak faham masalah rakyat.

Apakah yang tertinggal apabila kerajaan hanya bersifat tindak balas (reactionary) atau lebih buruk, ia terlewat sedangkan ikut pengalaman Datuk Seri, sistem itu ada SOP (tatacara piawai), ada kerangka datanya. Apakah yang kerajaan masa kini tertinggal hingga menyebabkan terlalu lewat untuk bertindak?

Apabila kerajaan itu lembab, rasuah dan tidak prihatin masalah rakyat, jawapannya tukar sahaja. Tetapi sementara itu, saya sudah bagi cadangan bagaimana kawal harga barang. Bukan bermakna bila ada orang susah, bagi RM100 sahaja. Dia (kerajaan persekutuan) tidak tahu. Tugas kerajaan itu (pantau) barang kawalan. Saya percaya dengan ekonomi pasaran tetapi kita tahu pasaran kalau ada monopoli boleh jadi (punca) masalah.

Justeru, ada langkah-langkah harus diambil awal. Umpama harga lembu. Saya ingat lagi sebelum hari raya Aidiladha, selepas hari raya Puasa, selepas sebulan setengah dan dua bulan, kita pergi raya haji. Maknanya harga lembu akan naik.

Jadi, terus beri kelonggaran, import sedikit dari Thailand atau Australia. Tetapi jangan longgar banyak kerana akan menjejaskan pengeluaran tempatan. Dilonggarkan supaya kalau ada kenaikan (harga) sedikit, itu tidak terlalu menjejaskan.

Hal-hal ini, itu kerja menteri. Bukan hendak tunjuk fesyen baju. Macam sekarang ini asyik fikir siapa jawatan hendak tambah sana, hendak tambah sini. Bukan begitu. Masalah rakyat kena tangani. Yang tidak mengapa. Pakailah batik macam mana pun, orang tidak akan sibuk. Tapi kalau hal yang utama ini diremehkan, inilah jadinya.

Kerajaan Selangor mengambil beberapa inisiatif dengan mendengar keluhan suara rakyat dari segi kos sara hidup. Terdapat beberapa inisiatif termasuk subsidi barangan keperluan termasuk bekerjasama dengan Negeri Sembilan untuk memastikan jaminan makanan. Pandangan Datuk Seri?

Ada upaya walau sangat terbatas. Pimpinan Kerajaan Negeri baik Selangor, Negeri Sembilan atau Pulau Pinang melihat perkara ini. Kita daripada Pakatan Harapan (PH) khususnya KEADILAN (Parti Keadilan Rakyat) beri arahan cari jalan. Jadi cari jalan dalam keadaan sangat terbatas dan jawapannya boleh.

Apabila Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kata boleh, saya kata hendak tengok sendiri. Jadi, saya turun dan alhamdulillah ada langkah dan (harga) masih boleh dikawal. Jadi bayangkan, baharu satu Kerajaan Negeri. Kalau seluruh negara lakukan yang sama, maknanya dapat mengawal harga.

Itu yang penting dan kerjasama antara negeri itu penting. Sebab itu, perlu (kerajaan) persekutuan. Umpamanya pengeluaran ayam di sesetengah negeri lebih manakala sayur sesetengah negeri lebih. Jadi, ini juga peranan Fama.

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas pada harga murah sempena Karnival Jualan Ehsan di Taman Perwira, Sijangkang, Kuala Langat pada 5 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Semasa saya menteri pertanian, itu antara fokus saya termasuk pasar tani. Jadi, petani di Tanjong Karang, Kuala Selangor, Sabak Bernam, semua itu meluru kalau hari pasar tani. Oleh kerana sambutan peringkat awal dibimbangi tidak berjaya, saya letakkan pasar tani di Kementerian Pertanian di Kuala Lumpur. Saya beritahu ketua pengarah pertanian Fama, pastikan apabila orang keluar kerja, mereka pergi ke tempat itu. (Jualan) habis. Petani-petani rasa senang. Fama bantu bawa dan jual harga yang keuntungan munasabah. Kalau tidak, hilang di kalangan orang tengah ini beberapa ratus (ringgit).

Ini teori yang kita baca sejak di sekolah dahulu. Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Abdul Hamid terangkan tentang ketempangan sistem pemasaran tapi tidak kita amalkan. Saya sebut perkara ini kerana memang berkesan. Kalau kita ambil langsung ikan di Tanjong Karang, sayur di Kuala Selangor, nanas di Sabak Bernam dan bawa sendiri. Itu dia (kerajaan) boleh bantu. Ia tidak jejaskan kepentingan petani kerana dapat hasil yang lebih baik daripada hasil yang dia (petani) jual dahulu.

Malah, saya masih ingat ikan dengan sayur di Tanjong Karang. Kita semak harga dia, dapat untung lebih daripada biasa. Apabila (ada) orang tengah atau peraih ikan, sekian untung dia. Katalah RM1 tapi kita bagi dia RM1.20 dan kos bila dijual pun harga lebih murah di pasar tani.

Bagi saya, itu contoh kecil tetapi hendak tunjuk perlukan tekad politik yang berani. Cari inisiatif dan ikhtiar untuk meringankan beban rakyat. Bukan bermakna kita hendak paksa turunkan harga hingga menjejaskan petani dan nelayan. Tidak. Kita fokus pelihara kepentingan petani, nelayan dan pembeli.

Kita lihat pengumuman harga siling makanan juga ada pusingan U. Jadi, apakah perlu mobilisasi rakyat untuk menegur kerajaan seperti yang disebut dalam kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan baru-baru ini. Apakah perlu tindakan sejauh itu?

Ya, saya setuju sekarang ini memang ada suara-suara lebih lantang. Mahasiswa pun sudah bangkit, NGO (badan bukan kerajaan) pun. Petani, peladang kadang-kadang terlalu tunduk, sekarang mereka tahu nasib mereka terabai kerana harga siling itu harga yang ditentukan peringkat atas.

Dan, itu bukan penyelesaian. Penyelesaian itu dari ‘production’ pengeluarannya kepada pemasaran dan sebelumnya modal untuk peniaga. Ini teori lama. Saya ulang, baca dalam parlimen tentang isu kemiskinan yang dikupas oleh Profesor Diraja Ungku Aziz. Saya ingat sebahagian mereka baca.

Saya tidak tahu dia faham ke tidak faham. Kalau dia faham, dia tidak amal macam baca al-Quran. Kena faham. Baca, faham, amal. Ini makna tiga perkara yang ditegaskan untuk masalah pertanian terutamanya. Apa dia? Isu tanah dan pengeluaran, isu pemasaran dan isu modal. Jadi, masalah pertanian itu harus ditangani secara komprehensif dan menyeluruh.

Macam-macam perbualan sekitar MOU antara kerajaan dengan Pakatan Harapan. Ada kata 31 Julai MOU tamat, apa pula kata MOU kekal selagi Parlimen belum bubar. Bagaimana Datuk Seri menilai pencapaian MOU ini?

MoU ini antara Pakatan Harapan. Pembangkang dengan kerajaan. Jadi, bukan maknanya kita sebahagian daripada kerajaan atau mengharapkan perubahan-perubahan itu melibatkan isu-isu pokok atau dasar yang kita ketengahkan. Kalau soal tatakelola, rasuah itu memang bagi kami perubahan sangat kecil.

Malah, ada beberapa aspek di mana keadaan itu lebih parah dan bobrok dari dulu. Tetapi apa yang dilakukan peringkat awal itu semasa Covid-19. Kita mengatakan kalau tidak ada kesepakatan menangani masalah ini, yang terbeban itu rakyat.

Sebab itu, untuk Covid-19, dengan dukungan kita boleh luluskan dana tambahan RM45 bilion, kemudian perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kemudian dana untuk rakyat miskin yang (berjumlah) RM10 bilion.

Ini semua melalui persefahaman dalam MoU ini. Dan kita juga tahu kerana Perikatan Nasional atau Barisan Nasional tidak jelas sebagai kerajaan. Ini menunjukan bahawa perdana menteri sendiri belum dapat dukungan keyakinan. Jadi, kita bukan dukung ini untuk perkuatkan perdana menteri atau kerajaan.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat pada 28 Februari 2022. Foto BERNAMA

Kita membuat persefahaman ini (untuk) memperkuat program yang prorakyat. Ini termasuk umpamanya rang undang-undang antilompat parti yang sangat kontroversi. Kita tahu negara ini terjerumus ke lembah ketidaktentuan sekarang ini kerana tokoh politik ahli-ahli parlimen mengkhianati dasar perjuangan mereka dan memilih mendukung siapa sahaja yang berikan dana atau kedudukan jadi menteri, maka dia dukung. Ini yang kita harus elak. Oleh itu, dalam pertemuan kami terakhir dua minggu lalu dengan perdana menteri, beliau memberi perakuan bahawa ia tetap dibentang dalam (Parlimen) sesi Julai.

Jadi pada keseluruhannya, memang kita rasa untuk usul yang agak terbatas ini kita penuhi usul lain tentang kerajaan. Itu kita kena lawan dalam pilihan raya dan mesti mengalahkan mereka untuk mencapai maksud tatakelola yang baik dan membanteras rasuah.

Apakah MoU ini akan kekal? Kalau ikut tafsiran MoU itu, ia akan kekal sehingga pilihan raya diadakan tetapi muktamadnya itu apabila pemimpin Pakatan Harapan berbincang dengan perdana menteri.

Rang undang-undang antilompat parti dan peruntukan tempoh mengehad jawatan perdana menteri dalam MoU belum dilaksanakan. Sejauh mana Datuk Seri optimis kedua-dua usul itu dapat dijayakan?

Penangguhan berlaku kerana Pakatan Harapan dan kerajaan persekutuan mahu merujuk cadangan rang undang-undang itu atau draf kepada jawatankuasa pilihan.

Wakil kita dalam jawatankuasa perakui perubahan itu dan sudah pun ada draf terakhir. Perdana menteri mengesahkan dan perdana menteri memberi kenyataan jelas bahawa ia tetap akan dibentang pada sesi bulan ini.

Sejauh mana Datuk Seri harapkan daripada ahli-ahli parlimen terutama daripada parti-parti lain untuk stabilkan suasana politik yang tidak menentu ini?

Sebenarnya, ketidaktentuan ini bukan soal pembangkang. Pembangkang kuat sekarang. Tetapi kita dalam isu rakyat, umpamanya dana tambahan untuk rakyat miskin atau menangani masalah Covid-19, kita langsung tidak mempersulitkan. Cuma yang kita persulitkan ialah memastikan dana itu tidak disonglap atau diambil mengikut proses tidak menentu tanpa tender. Masalah ubat pun hendak komisen. Ini semua kerja-kerja menjahanamkan kepentingan rakyat.

Jadi kalau tanya saya dalam soal ini, saya yakin MoU itu akan membantu tetapi benar kalau telahan dan kritikan rakyat, sebahagian besarnya yang tidak menganggap MoU itu sebagai penyelesaian muktamad.

Kerana ketidakstabilan itu berpunca daripada berlaganya tokoh-tokoh dalam Perikatan Nasional itu sendiri. Hari-hari sekarang, hari-hari. Jadi kita pembangkang ini kena bersaing pula dalam soal kritikan ini, kerana kritikan antara mereka itu sangat keras. Jadi itu yang menyebabkan mereka dianggap tidak mantap dan tidak berjaya memperkukuh dasar parti.

Kita harap dengan rang undang-undang ini sekurang-kurangnya soal lompat parti terutama selepas pilihan raya ini  apabila orang mengundi di satu kawasan, kata Port Dickson ke maka dia tahu orang ini akan kekal dan tidak kerana sogokan akan melompat.

Sebelum ini, Pakatan Harapan memerintah Malaysia selama 22 bulan tetapi tanggapan umum pentadbiran banyak negatif dan Datuk Seri terpaksa memikul imej itu sedangkan Datuk Seri tiada dalam kerajaan. Pandangan?

Ini macam lagu (Allahyarham P Ramlee. (Anwar sedikit menyanyi) Sungguh malangnya nasibku.

Dua puluh dua bulan ada yang positif. Umpamanya bidang pengangkutan bawah Anthony Loke. Kita lihat pendedahan oleh menteri pertahanan, pertama kali orang tahu pendedahan tentang kepincangan dan rasuah.

Kita lihat cara (Datuk Seri) Saifudin Nasution menangani isu-isu kos sara hidup itu jauh lebih berkesan. Ada yang positif, saya tidak mahu sebut tentang (Datuk Seri Dr) Wan Azizah Wan Ismail atau soal wanita.

Tetapi ada juga masalah terutama kepimpinan itu bukan daripada induk. Jadi, kadang-kadang keputusan yang dibuat itu tidak dirundingkan. Umpama hal-hal yang menyentuh perasaan orang Melayu. ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum), kalau kita hendak lakukan kena jelaskan. Orang Melayu anggap ini sebagai satu hal yang menekan Islam dan menekan hak keistimewaan Bumiputera. Kalau dia kata tidak, bagi penjelasan. Ini tidak, asak terus ke parlimen.

Saya pun sebagai orang kuat dalam Pakatan Harapan terpaksa berucap minta ditangguhkan, minta dirundingkan semula. Tentulah semasa itu perdana menteri sangat tidak senang dengan keputusan saya, tapi itu sebagai contoh bagaimana elit bandar ini fikir agenda itu penting.

Tidak langsung fikir tentang perasaan, kegelisahan rakyat. Dia mungkin benar tapi penjelasan harus diberi dahulu. Jangan difikirkan kamu tahu dan dunia antarabangsa sudah terima.

Saya tidak setuju pendekatan itu. Itu sebagai contoh, tapi perlu saya dibebankan dengan semua ini. Ya, itu isu dia jadi sekarang ini sebab itu jika pilihan raya saya bawa Pakatan Harapan ke depan jangan toleh. Mempertahankan semua 20 bulan, yang khianat, yang gagal, itu banyak yang sudah lompat. Itu kadang-kadang orang lupa. Ya, yang kritik Pakatan Harapan 22 bulan, semua ini menteri-menteri dahulu yang dalam Pakatan Harapan pun ada.

Jadi, bagi saya tidak masuk akal. Tetapi oleh kerana dibuat Pakatan Harapan. Padahal yang dalam kerajaan itu, begitu ramai yang sekarang menteri-menteri yang gagal itu banyak yang lompat.

 


Pengarang :