Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen Kuala Lumpur pada 1 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar khuatir krisis hutang isi rumah heret puluhan ribu keluarga muflis

SHAH ALAM, 14 JULAI: Kira-kira 32,000 lagi peminjam bakal muflis dalam tempoh dua tahun jika kadar dasar semalaman (OPR) terus dinaikkan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim bimbang krisis hutang isi rumah bakal mengundang kesusahan yang besar kepada beribu-ribu keluarga sekali gus menghalang pemulihan ekonomi negara.

Ketua Pembangkang menerusi Facebook hari ini menjelaskan nilai hutang itu meningkat sejak 2008 pada kadar yang lebih tinggi daripada pengembangan ekonomi.

Beliau berkata hutang isi rumah meningkat daripada 192 bilion USD kepada 329 bilion USD (RM853 bilion kepada RM1.46 trilion) antara 2010 hingga 2021, tertinggi di Asia Tenggara dan kedua tertinggi di Asia.

“Dalam erti kata lain, walaupun ekonomi kita telah berkembang, ramai rakyat Malaysia berasa lebih miskin dan lebih terhutang daripada sebelumnya,” katanya.

Awal minggu ini, Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) menjangka 32,000 lagi peminjam bakal muflis dalam dua tahun jika OPR terus naik.

Pada 6 Julai, Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan OPR sebanyak 0.25 peratus kepada 2.25 peratus.

Ia adalah kenaikan kedua tahun ini selepas BNM menaikkan OPR juga 0.25 peratus kepada 2.00 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Mei lalu.


Pengarang :