Ketua Pembangkang merangkap ahli parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar: Larangan tukar parti detik sejarah, kembalikan integriti sistem politik

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 mengenai larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti disifatkan sebagai permulaan bersejarah bagi mengembalikan intergriti ahli politik, sistem politik dan demokrasi negara.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pindaan itu bukan sahaja memberi kesan positif kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, malah pengertian moral serta integriti ahli parlimen agar tidak dianggap sebagai ‘penjual maruah’ atau pembelot amanah yang diberikan rakyat.

Beliau berkata institusi Parlimen tidak seharusnya dijadikan tempat untuk ahli parlimen untuk menggondol kekayaan, menjual maruah semata-mata untuk mempertahankan kedudukan mereka termasuk dengan mengubah (lompat) parti.

“Perkara ini menyebabkan terhakisnya kepercayaan dan keyakinan rakyat terutama golongan anak muda terhadap ahli dan sistem politik.

“Pindaan ini untuk memastikan kita memulihkan keyakinan ini dengan menekankan bahawa segala pengkhianatan dan rasuah dengan dikenakan tindakan dengan serius. Saya menyokong (rang undang-undang),” katanya ketika membahaskan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli parlimen Port Dickson itu turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana membentangkan rang undang-undang itu seperti perjanjian yang dimeterai oleh kerajaan dan Pakatan Harapan menerusi memorandum persefahaman (MoU) sebelum ini.

“Pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk antilompat parti ini adalah perkara pokok (utama) dalam MoU antara PH dan Perdana Menteri dan jika tidak dibentangkan dalam Parlimen, MoU ini dianggap terbatal.

“Saya ingin ucapan tahniah kepada Perdana Menteri kerana tunaikan janji seperti yang dimeterai dalam MoU,” katanya.

Anwar berkata walaupun rang undang-undang yang dibentang itu tidak sepenuhnya memenuhi tuntutan ahli parlimen pembangkang namun beliau tetap menyokong rang undang-undang itu dibentangkan, selain mahu beberapa prinsip penting yang disentuh pembangkang berkaitan isu itu dipertimbangkan dalam pindaan akan datang.

Pada sidang Dewan Rakyat hari ini, perdana menteri membentangkan rang undang-undang itu yang antara lain memperuntukan seseorang ahli parlimen yang dipilih rakyat pada pilihan raya akan hilang kerusi yang dimenanginya jika wakil rakyat itu melompat parti.

-BERNAMA


Pengarang :