Jentera Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memasang bendera di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerang, Ayer Hitam pada 3 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Anwar: Lawan kelesuan politik, rangkul kekuatan baharu

SHAH ALAM, 15 JULAI: Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) ke-16 yang berlangsung antara 15 hingga 17 Julai di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam bakal dihadiri para pemimpin dan perwakilan 22 cabang dari seluruh negara.

Program itu diadakan sebaik proses pemilihan parti selesai dijalankan ketika negara di ambang pilihan raya umum, hanya beberapa bulan selepas KEADILAN mengalami kekalahan dalam pilihan raya negeri di Johor dan Melaka.

Ketua Kluster Digital Media Selangor Khairulnizam Bakeri, Ketua Pengarang Selangorkini Fazallah Pit dan Editor Selangor Journal Ida Nadirah Ibrahim berusaha mendapatkan pandangan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Julai.

Bahagian 1: Anwar: Kerajaan gagal tangani lonjakan harga, pemimpin ‘berlaga’ sesama sendiri

Bahagian 2: Polemik ‘khemah besar’, isu Melayu dan model pentadbiran

KEADILAN melalui proses pemilihan yang dilakukan dalam talian dan secara fizikal. Bagaimana Datuk Seri lihat proses pemilihan kali ini?

Ini satu-satunya parti, tentunya dalam negara dan di dunia, yang memilih cara ini. Tentu jauh sukar kerana ia melibatkan satu proses baharu dan tentunya melibatkan beberapa kelemahan. Tetapi apanya yang positif?

Pertama, inilah satu usaha pendedahan digital yang paling berkesan yang pernah dilakukan dalam negara atau banyak (kalangan) negara membangun. Mana ada kemungkinan satu usaha parti ratusan ribu itu terdedah dengan satu sistem termasuk di pedalaman, di pinggir kota, yang miskin, bandar, dan juga di luar bandar.

Jadi bagi saya, dari segi yang positifnya ada satu pencerahan tentang apa maksud digitalisasi. Kalau tidak cakap 4G, 5G (tetapi) asyik kira berapa ribu bilion dan berapa bilion pula yang disonglap daripada komisen. Tetapi yang ini, usaha rakyat sendiri, parti KEADILAN untuk memberi pendedahan baik.

Proses itu alhamdulillah dipimpin oleh Dr Zaliha Mustafa dengan pasukannya sangat berkesan dalam menjalankan proses pemilihan. Tetapi kita tidak nafikan ada beberapa kecelaruan peringkat akar umbi, umpamanya cara mereka kendali dan pengendali yang kurang mahir atau kadangkala mungkin cuai.

Suasana pengundian secara fizikal ketika pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Dewan Beringin Sri Gombak, Batu Caves pada 21 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Tetapi kita tangani dengan melantik satu syarikat forensik. Kedua-duanya audit dan digital untuk mengenal pasti semua kelemahan-kelemahan ini. Kalau umpamanya orang yang bukan ahli mengundi ataupun tidak layak ataupun silap cabang ataupun kurang umur. Semua rekod-rekod ini dengan sendirinya forensik itu membatalkan. Jadi, ada proses pembersihan.

Itu yang menyebabkan cadangan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang melapor kepada saya bahawa mereka mengambil masa. Pertama, berikan jumlah undi secara umum yang tidak muktamad kemudian menyerahkannya kepada forensik dan forensik mengambil masa kerana terpaksa meneliti setiap 222 cabang. Setiap pasukan daripada pimpinannya sehingga ke angkatan muda dan wanita dan ini mengambil masa.

Tapi saya alhamdulillah berpuas hati dan menyeru ahli-ahli untuk kita berpakat semula sebagai satu pasukan. Yang menang itu KEADILAN dan akhirnya yang menang itu rakyat, bukan presidennya atau ketua AMK (Angkatan Muda KEADILAN) atau ketua wanitanya.

Yang menang itu kerana rakyat menginginkan, ahli-ahli menginginkan, pimpinan ini memenuhi amanah (dan) janji mereka. Bukan memenuhi agenda peribadi mereka. Jadi, saya harap selepas ini akan ada semangat ini kerana ini bukan kartel. Kartel itu apabila mereka bertanding sebagai satu pasukan yang disebutkan kartel dan pasukan itu hanya menentu masa (untuk) cabar parti. Walaupun sudah menang ataupun meninggalkan parti itu sudah berjalan rundingan-rundingan pengkhianatan.

Ini tidak berlaku. Kalau orang tuduh ‘oh hari itu 2018 ada begitu’ tetapi tidak yang sekarang ini. Kalau ada pun, ada permasalahan pendalaman, pandangan-pandangan tentang hala tujunya, strateginya yang saya fikir sebagai presiden, harus saya rangkul, dengar semua dan kita putuskan secara jemaah.

Jadi, bagaimana keputusan selepas audit forensik dijalankan? Adakah berlaku jurang terlalu besar dengan keputusan tidak rasmi?

Saya tidak ada pendedahan langsung dengan forensik tetapi daripada laporan JPP kemas kini kepada saya, mereka menjangka ada beberapa perubahan kecil jumlah undi. Tentunya jumlah undi kerana apabila dibatalkan jadi jumlah undi itu berkurangan. Tetapi apabila berlaku berkurangan, ada kemungkinan pertukaran yang berlaku peringkat cabang atau AMK atau wanita. Tetapi mereka juga beritahu beberapa keputusan yang melibatkan calon-calon utama itu tidak akan ada apa-apa perubahan terutama jawatan timbalan presiden seumpamanya. Tetapi yang lain kita harus terimalah. Apabila (adanya) forensik, ini maknanya membersihkan. Ini bagi kita lebih baik. Kita berani hantar kepada forensik.

Kalau tengok debat saya dengan Datuk Seri Najib Razak, tidak berani bawa ke forensik. Kita bukan sekadar hendak bawa jabatan atau agensi, parti kita pun kita lakukan proses forensik.

Dengan forensik ini, badan bebas cukup berwibawa, membersihkan kerana tidak semestinya di atas terlibat ataupun calon terlibat, tetapi kadang-kadang di bawah itu sama ada kesilapan atau kecuaian atau lain-lain menyebabkan ada kesilapan. Yang penting bagi saya ialah JPP mengambil tanggungjawab membersihkan sedikit kecelaruan yang berlaku.

Umum melihat dalam KEADILAN ada dua kem. Bagaimana Datuk Seri melihat persaingan tersebut?

Memang, apabila ada persaingan tentulah ada pendukung masing-masing. Ada kekuatan, ada kelemahan masing-masing. Yang penting ialah ia tidak mencetuskan permusuhan yang tajam ketimbang (berbanding) pengalaman lalu 2018. Oleh demikian, ia mudah meredakan.

Saya lihat umpamanya selepas itu, saya sendiri ada beberapa perjumpaan dan hal-hal pertemuan dengan duta besar. Panggil siapa pun, dia tidak ada langsung satu sentimen untuk berasa curiga dan tidak senang. Jadi semangat itu ada.

Proses pendaftaran sebagai calon sempena pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Ibu Pejabat KEADILAN, Petaling Jaya pada 11 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Kecenderungan peribadi saya tidak nafikan, dengan alasan tertentu. Tetapi yang penting, kita pastikan pemilihan itu bebas, telus dan adil dan kita terima keputusan rakyat. Ahli parti memilih untuk memperkukuh parti, bukan untuk melemahkan.

Untuk merangkul semua kekuatan, bukan untuk menyisihkan. Untuk menjadikan ini sebagai satu tonggak dalam sistem politik. Mereka semua tahu pengalaman kartel (pada) 2018 yang memang daripada awal ada rencana untuk merosakkan. Ini saya fikir, yang saya pasti tidak berlaku kerana semangat jemaah dan pertahan idealisme perjuangan itu kekal.

Apakah mesej untuk Kongres KEADILAN yang berlangsung pada 15 hingga 17 Julai?

Parti pada semua peringkat harus terima (keputusan), harus ada lonjakan. Sebab itu, saya kata pemilihan ini penting kerana beri ruang untuk kita jelaskan isu dan perbaiki beberapa kelemahan. Ini termasuk umpamanya pimpinan sendiri termasuk saya, bagaimana saya boleh ubah suai memperbaiki pimpinan sendiri, calon-calon dan jentera akar umbi.

Kadang-kadang apabila kita ada jawatan, kita rasa selesa. Ini yang selalu saya tegur rakan-rakan saya termasuk negeri-negeri yang kita menang. Jangan rasa selesa kerana rakyat itu dalam sistem demokratik akan terus berfikir dan terus menilai. Itu yang pertama.

Yang kedua, kita juga tahu ada sikap sinis dan kelesuan akibat pengkhianatan dan perubahan-perubahan ini. Jadi pilihan raya di negeri-negeri ini tidak dapat melonjakkan semangat mereka untuk berbuat sesuatu. Kita tengok peratus pengundian pun sekitar 50 peratus, ada yang kurang daripada itu. Ini belum pernah berlaku. Maknanya, minat orang terhadap politik itu terjejas. Tanggungjawab kita ialah kembalikan (minat).

Saya lihat umpamanya inisiatif di Selangor oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari untuk turun ke bawah. (Ini) menunjukkan ada semangat kepedulian tentang permasalahan rakyat. Menjelaskan apa yang dilakukan, mendengar keluhan mereka (rakyat) kemudian pada malamnya pimpinan memberi penerangan tambahan.

Ini satu usaha yang akan diikuti semua negeri untuk memperkukuh dan mengajak rakan-rakan kita yang dahulunya agak sinis ataupun kurang selesa dengan politik yang ada, mengatakan kita ada pilihan. Ini yang saya sebut beberapa minggu lalu. Apakah kita terus sinis dan biarkan orang yang rasuah dan khianat terus memerintah atau kita mahu menentukan masa depan kita?

Jadi, KEADILAN siap siaga pada Ogos, Disember dan tahun depan untuk pilihan raya?

Saya baharu diberi penjelasan oleh Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pusat KEADILAN (JPRP) Fuziah Salleh. Maknanya, walaupun ada pemilihan parti, jentera asas parti dari segi pilihan raya itu mesti terus berjalan.


Pengarang :